Menjelang Aidilfitri, 5 keluarga ceria terima kunci rumah baharu

Admin

PENAGA – Kurang seminggu menjelang Hari Raya Aidilfitri, lima keluarga ceria apabila menerima kunci rumah baharu sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Pengerusi ZPP, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dekat Kampung Permatang Rawa Tepi Laut di sini sebentar tadi.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Zakiyuddin berharap agar sumbangan rumah baharu berkeluasan 800 kaki persegi itu mampu memberikan keselesaan dan keceriaan kepada keluarga terbabit untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman meninjau keadaan rumah baharu yang diterima oleh salah seorang asnaf dekat Kampung Permatang Rawa Tepi Laut selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci pagi tadi.

“Rumah baharu ini adalah salah satu daripada program sumbangan ZPP dalam pengagihan wang zakat kepada asnaf dan kita bercadang untuk membina 40 buah rumah setahun untuk diserahkan kepada penerima-penerima yang berkelayakan.

“Banyak permohonan kita terima setiap tahun tetapi kita akan proses mengikut kelayakan masing-masing dan paling penting adalah perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan khususnya daripada segi aspek pemilikan tanah.

“Kita percaya program-program seperti ini memenuhi kehendak pembayar-pembayar zakat apabila melihat bahawa sumbangan zakat mereka sampai kepada penerima yang layak.

“Justeru, adalah diharapkan sumbangan ini dapat memberikan kehidupan yang selesa kepada asnaf dan keluarga masing-masing,” jelasnya yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) ZPP, Mohd. Kairi Ghazali.

Difahamkan, harga bagi sebuah rumah tersebut adalah bernilai RM57,515.86 yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air selain menggunakan reka bentuk baharu yang lebih kemas dan selesa berbanding sebelum ini.

Shawai Dahaman bersama isteri dan cucunya menunjukkan kunci rumah baharu yang disumbangkan oleh ZPP.

Dalam pada itu, Syawai Dahaman, 61, ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dan gembira atas pemberian sumbangan yang disifatkannya sebagai sangat bermakna lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, dia bersama isteri serta dua anak dan seorang cucu sebelum ini tinggal di rumah pusaka yang sudah usang sejak lebih 50 tahun lalu dekat Kampung Permatang Janggus, di sini.

“Syukur alhamdulillah atas bantuan bina rumah baru oleh Kerajaan Negeri dan ZPP. Saya berasa amat gembira kerana tahun ini merupakan kali pertama kami menyambut hari raya di rumah sendiri,” ujarnya yang merupakan seorang pesara.

Omar Mat menerima kunci rumah baharu daripada Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Seorang lagi penerima, Omar Mat, 70, mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat dalam pemberian sumbangan rumah baharu berkenaan.

“Saya berbesar hati kerana menerima bantuan rumah yang sangat selesa ini kerana rumah saya yang dulu bumbung sudah bocor selain dibina di atas tanah milik orang lain,” ujarnya yang sebelum ini tinggal di Bakar Tua, di sini sejak lebih 50 tahun lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD