GEORGE TOWN – Sebagai mod pengangkutan sokongan awam baharu, sejumlah 50 unit van DRT (Demand-Responsive-Transit) yang disediakan khusus di kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan bas awam diharap akan terus meningkatkan kadar mobiliti rakyat untuk menggunakan pelbagai pengangkutan awam sedia ada di negeri ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberitahu bahawa para pengguna bagi setiap perjalanan hanya perlu membayar tambang semurah RM1 menerusi sistem pembayaran tanpa tunai yang dilengkapi pada van Rapid Penang On-Demand tersebut atau menggunakan kad prabayar Pas My50 Mutiara sedia ada.
“Van DRT (atau) Rapid Penang On-Demand ini diperkenalkan bagi membantu para penumpang di kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan bas awam untuk bergerak ke jalan-jalan utama bagi mendapatkan perkhidmatan bas awam di negeri ini.
“Rapid Penang On-Demand merupakan suatu (mod) perkhidmatan pengangkutan (awam) baharu supaya boleh menggalakkan lagi orang ramai menggunakan pengangkutan awam pada masa hadapan,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di ibu pejabat Rapid Penang, Lorong Kulit di sini pada 10 Jun 2025.
Difahamkan, perkhidmatan 50 unit van DRT diperkenalkan secara berfasa sejak Ogos 2024, meliputi tujuh zon di bahagian Pulau dan baki enam zon lagi di bahagian Seberang Perai.
Dalam tempoh pengoperasian Rapid Penang On-Demand menyaksikan purata penumpang harian pada bulan Mei tahun ini sahaja direkodkan seramai 492 orang berbanding 159 orang yang direkodkan pada Februari 2025.
Mengulas lanjut, Siew Fook memberitahu bahawa ketika ini jumlah penumpang harian melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu seramai 1,944 orang.
“Jumlah (1,944 orang) ini telah menyumbang kira-jiwa 4.1 peratus daripada keseluruhan purata harian seramai 47,000 orang penumpang yang menggunakan perkhidmatan (bas awam dan bas pengantara) Rapid Penang.
“Masa perjalanan (dengan menggunakan Rapid Penang On-Demand) kebiasaannya selama 16 minit, manakala masa menunggu secara purata 19 minit.
“(Rapid Penang On-Demand) ini merupakan suatu usaha Kerajaan bagi menyelesaikan isu ‘langkah pertama’ dan ‘langkah terakhir’ (bagi menggunakan bas awam untuk bergerak di negeri ini),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MoT), Dato’ Jana Santhiran Muniayan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman; dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana, Amir Hamdan turut sertai sidang media berkaitan sempena majlis perasmian pelancaran operasi Rapid Penang On-Demand di negeri ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN