Menteri jamin caj terhadap syarikat pengendali bas ekspres tidak sehingga membebankan pengguna Penang Sentral

BAGAN DALAM – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa ketetapan kadar caj terhadap syarikat-syarikat pengendali bas awam dan bas ekspress serta sewaan lot kemersial di Penang Sentral nanti adalah tidak sehingga membebankan rakyat terbanyak yang menggunakan hub pengangkutan bersepadu tersebut.

“Kita akan berbincang dengan semua pihak berkepentingan terutama syarikat-syarikat pengendali bas.

“Kita Kementerian berpendirian apa-apa kadar tambang (caj terhadap syarikat-syarikat pengendali bas serta kadar sewaan lot kemersial) yang dikenakan itu mestilah berpatutan dan tidak membebankan orang ramai.

“Kita (Kementerian Pengangkutan) nak lihat kemudahan ini dapat digunakan oleh orang ramai,” jelasnya dalam sidang media selepas meninjau sendiri tahap kesediaan kemudahan-kemudahan awam di dalam Penang Sentral dekat Butterworth pada 6 September 2018.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Lim Hock Seng (bekas ADUN Bagan Jermal merangkap bekas Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti); Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai lawatan kerja berkaitan.

Difahamkan, Penang Sentral dimajukan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) persekutuan, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), dan kelak akan diurus oleh syarikat subsidiarinya, Penang Sentral Sdn. Bhd..

Kos projek pemajuan MRCB berkaitan adalah kira-kira RM280 juta dengan nilai pembangunan kasar (GDP) sejumlah RM2.8 bilion.

Bercakap pada sidang media sama, Ketua Pegawai Operasi MRCB, Shareen Iqbal menyatakan bahawa reka bentuk serta sistem perkomputeran bersepadu Penang Sentral adalah termoden dan canggih berbanding sistem pengangkutan bersepadu Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dekat Bandar Tasek Selatan serta KL Sentral, dekat ibu negara Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Siew Fook memberitahu, paling penting adalah sistem tempahan tiket secara bersepadu serta kemudahan-kemudahan lain di Penang Sentral kelak dapat menghapuskan amalan “ulat tiket” yang ternyata menindas pengguna selama ini.

Dalam lawatan selama sehari, rombongan berkenaan turut meninjau mutu perkhidmatan feri yang menjadi ikon pengangkutan Pulau Pinang, kemudahan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Stesen Butterworth ke Jawi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS