Menteri Pengangkutan lancar ‘Pas Mutiara’ perjalanan tanpa had My50 di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Seperti di Lembah Klang, pas perjalanan tanpa had My50, dikenali sebagai ‘Pas Mutiara’, boleh digunakan untuk sistem pengangkutan bersepadu bas Rapid Penang dan RapidFerry di negeri ini mulai 1 September 2019.

Mengulas lanjut, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berharap kemudahan itu akan meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat, selain menggalakkan mereka untuk bergerak menggunakan sistem pengangkutan awam.

“Bagi RM50 yang dibayar oleh pengguna untuk masa penggunaaan selama 30 hari, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pengangkutan membiayai RM50 dalam bentuk subsidi kepada pihak operator iaitu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

“RM50 yang dibayar oleh Kerajaan Pusat ini adalah suatu subsidi bantuan terus kepada rakyat,” jelasnya pada majlis pelancaran perkhidmatan tersebut di perkarangan Terminal Bas Weld Quay B dekat sini pada 23 Ogos 2019.

Turut berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain.

Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee dan Ahli-ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta beberapa Ahli Parlimen turut sertai majlis pelancaran tersebut.

Bagi projek ‘Pas Mutiara’ berkaitan, Siew Fook memberitahu bahawa Kementeriannya menyediakan peruntukan keseluruhan untuk 35,000 pengguna, walaupun Prasarana mensasarkan 4,000 pengguna berdaftar sehingga akhir tahun ini.

“Apabila lebih ramai menggunakan pengangkutan awam, sebenarnya (kesan berganda) akan kembali dalam ekosistem itu.

“Walaupun ada kita (Kerajaan Persekutuan) membelanjakan subsidi untuk pengangkutan awam, tapi kebaikan yang dijana bagi pengangkutan awam itu adalah sangat banyak… (seperti) memaksimumkan penggunaan infrastruktur awam, menjaga alam sekitar dengan mengurangkan penjanaan gas karbon, dan juga mengurangkan kesesakan (trafik).

“(Justeru), saya berharap rakyat di Pulau Pinang, rakyat dari Sungai Petani (Kedah) dan (kawasan Parlimen) Parit Buntar supayya rebut peluang dengan mendaftar bagi mendapatkan ‘Pas Mutiara’ ini supaya kita (Prasarana) capai sasaran 35,000 pengguna dalam masa lima tahun,” serunya.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi merakamkan penghargaan kepada Prasarana kerana sejak hampir 12 tahun lepas menyediakan mutu pengangkutan bas Rapid (Penang) bermutu di negeri ini.

Beliau dalam pada itu turut berharap Kementerian Pengangkutan memperluaskan penggunaan ‘Pas Mutiara’ untuk penggunaan perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM).

“Bagi memastikan ‘Pas Mutiara’ boleh juga digunakan untuk jenis pengangkutan awam LRT (transit aliran ringan), sekarang kita sedang usahakan untuk membina LRT.

“Sebagai menjayakan inisiatif (skim keretapi LRT George Town ke Bayan Lepas) ini, kita masih amat berharap Menteri sendiri dan Kementerian serta Prasarana untuk menjayakan projek LRT di Pulau Pinang,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam pada itu, Mohamed Hazlan menyatakan bahawa Prasarana komited untuk mengatasi segala isu-isu berkaitan pengangkutan awam di negeri ini.

“Pengenalan ‘Pas Mutiara’ ini akan memudahkan perjalanan dan meningkatkan salinghuhungan (connectivity) di antara kawasan pulau, Seberang Perai dan negeri-negeri jiran,” katanya.

Kini, difahamkan, 404 bas Rapid Penang beroperasi melibatkan 71 laluan dengan jumlah purata penumpang harian melebihi 71,000.

Sementara, 6 buah feri RapidFerry yang beroperasi di kedua-dua pelabuhan mempunyai jumlah penumpang tahunan sebanyak 865,559 penumpang, 762,498 kenderaan iaitu dengan purata penumpang harian seramai 3,696 orang, kereta (1,198), motosikal (1,855) dan 59 kenderaan jenis lain.

Pada 1 Disember tahun lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 untuk penggunaan pengangkutan awam berasaskan rel dan bas di sekitar Lembah Klang, mulai 1 Januari 2019, sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING