Menteri puji negeri bangun industri pelancongan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN WEI & LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memuji kepimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam membangunkan industri pelancongan di negeri ini yang kini lebih pesat dan mekar.

Serentak itu, beliau turut memuji inisiatif Guan Eng berhubung cadangan menguatkuasa larangan menggunakan pekerja asing sebagai tukang masak utama dalam perniagaan gerai makanan bagi memastikan keaslian warisan makanan tempatan.

“Ramai pelancong datang ke Pulau Pinang khususnya untuk menikmati makanan tempatan kerana keaslian dan keunikan citarasa tempatan.

“Kita tidak boleh mengharapkan keaslian itu jika ia disediakan oleh seorang tukang masak asing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-228 Fort Cornwalllis di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, barisan Exco Kerajaan Negeri, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Patahiyah Ismail, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif dan kepimpinan negeri lain.

Pelbagai acara menarik disajikan sepanjang sambutan ulangtahun tersebut antaranya persembahan akrobatik, persembahan pentas dan silap mata.

Pengunjung yang hadir juga dihiburkan dengan pertunjukkan bunga api dan gemerlapan cahaya lampu yang menghiasi kota kubu Cornwallis.

Serentak itu, majlis turut memberi penghormatan kepada penumpang pesawat Malaysia Airlines System (MAS) MH370 dan MH17 dengan bertafakur selama satu minit di pintu masuk kota kubu berkenaan.

Mohamed Nazri dalam pada itu berharap Kerajaan Negeri dan agensi-agensi pelancongan di negara ini dapat bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam memberi penerangan lanjut berkaitan etika serta moral perlu dipatuhi pelancong agar industri pelancongan negara tidak dicemari dengan perbuatan tidak bermoral.

“Kita akan meminta agensi-agensi pelancongan menghebahkan norma dan budaya masyarakat Malaysia kepada pelancong supaya mereka (pelancong) tahu apa yang tidak boleh dilakukan di negara ini,” jelas beliau.