Menteri sambut baik syor seragamkan undang-undang asrama pekerja untuk buruh asing, kata Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata syor penyeragaman undang-undang berkaitan penempatan warga asing di asrama pekerja disambut baik oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

 

Menurutnya syor itu memang wajar dikaji pada peringkat kementerian memandangkan semasa pandemik COVID-19 menyaksikan kira-kira 70 peratus kluster adalah dari tempat kerja seperti kilang serta melibatkan warga asing.

 

Lagi pun menurutnya lagi, keseragaman undang-undang berkaitan asrama pekerja khusus untuk warta asing sekali gus lebih menjamin skim-skim perumahan kos rendah dan sederhana rendah hanya dihuni oleh pembeli bertaraf warganegara.

 

“Saya tiada masalah dengan mereka (warga asing), malah ingin menjaga kebijakan mereka, untuk itu agar ia tidak merebak, maka kita ada asrama-asrama untuk mereka yang mana kita (Pulau Pinang) telah pun menerajui seluruh negara dari aspek ini.

 

“Sekarang, kita telah ada 11 skim yang telah dibina yang mampu menempatkan 70,000 orang dan sudah pasti kita ada tempoh jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

 

“Ada yang cakap saya ulang tentang perkara ini, tetapi saya hendak nyatakan di sini, kerana pada saat ini COVID-19 sedang ‘ulanginya’, maka ini adalah sebahagian cara untuk kita menangani COVID-19, kita tidak boleh berhenti lawan, perlu ulang dan peringati apa perlu dibuat,” ujar beliau dalam satu sidang media melalui Facebook pagi ini.

Turut serta, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin dan Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu Reezal Merican turut memberi respons mengenai peri penting meminda semula undang-undang berkaitan demi menjamin daya huni warganegara di skim-skim perumahan awam sedia ada.

 

“Kita nak lihat, warga-warga asing di skim-skim perumahan kos rendah, sederhana rendah dan awam tidak lagi dibenarkan.

 

“Sekarang, ia adalah undang-undang peringkat pusat, jadi Kerajaan Pusat perlu masuk campur untuk halang sewaan kos rendah dan sederhana rendah bukan sahaja kepada warga asing, bahkan kepada orang tempatan.

 

“Kita mahu skim ini hanya dihuni oleh pembeli sahaja,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Difahamkan, proses pindaan undang-undang berkaitan akan melibatkan 12 akta sedia ada serta kajian dijangka mengambil masa yang lama.

 

Justeru, Jagdeep mencadangkan agar pembaharuan semula melalui undang-undang baharu diperuntukkan agar ia menjadi pemudahcara berkaitan hal sewaan di skim perumahan kos rendah dan sederhana rendah.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI