Menteri sifatkan Pulau Pinang sebagai rakan strategik ekonomi negara

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang merupakan negeri yang penting sebagai rakan strategik ekonomi dalam negara dan menjadi antara penyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional.

 

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Pulau Pinang adalah antara negeri terbangun di Malaysia yang menyumbang sebanyak RM91.18 bilion atau 6.7 peratus daripada KDNK nasional pada tahun 2018.

 

“Pulau Pinang telah mendahului dari segi rancangan pembangunan melalui pelan pembangunan Penang2030 dan perincian dalam pelan ini (Penang2030) memberi fokus untuk mengangkat martabat rakyat di negeri ini tanpa mengira latar belakang kaum serta agama.

 

“(Dan) kami di peringkat kementerian (Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, MEA) akan terus menyokong sepenuhnya rancangan pembangunan ini dan memastikan Pulau Pinang terus menjadi antara penyumbang utama terhadap KDNK negara,” beliau berkata demikian pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sejurus menghadiri Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), 2021-2025 di sini pagi ini.

 

SALING bertukar cenderahati antara Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) dan Mohamed Azmin Ali (dua dari kanan).

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; ex-officio Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Ketua-ketua Jabatan Negeri serta Persekutuan.

 

Azmin ketika mengulas mengenai sesi libat urus memberitahu bahawa pihaknya kini dalam siri jelajah ke negeri-negeri seluruh negara bermula 5 Julai lalu, dan Pulau Pinang merupakan negeri keenam yang dilawati selepas Melaka, Johor, Perak, Sabah dan Sarawak.

 

“Sesi libat urus yang diadakan antara kepimpinan Kerajaan Negeri dan pihak Kementerian (MEA) ini adalah untuk menyediakan kerangka bagi RMK-12 yang kita (MEA) jangkakan akan dibentangkan pada bulan Ogos atau September tahun hadapan (2020).

 

“Melalui sesi ini, pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat berganding bahu membentangkan hala tuju pembangunan untuk mencipta sumber pertumbuhan ekonomi yang baru.

 

“Hal ini bertujuan menjadikan Pulau Pinang sebagai antara penggerak ekonomi utama di wilayah utara Semenanjung dan pada sama dapat merapatkan jurang ekonomi agar dapat dinikmati bersama-sama,” katanya.

 

ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam sesi libat urus antara Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pagi ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow dalam ucapannya menyifatkan sesi libat urus berkaitan sebagai platform yang membolehkan Kerajaan Negeri mengetengahkan perancangan pembangunan negeri agar dapat diperinci serta diselaraskan dalam penyediaan dokumen RMK-12.

 

“Pelaksanaan sesi ini adalah amat baik bagi memastikan agenda pembangunan negeri selari dengan agenda pembangunan negara. Malah ia menunjukkan komitmen MEA dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan dasar dan perancangan dibuat dengan teliti serta melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk di peringkat Kerajaan Negeri.

 

“Dari segi prestasi ekonomi, Pulau Pinang boleh dikatakan mencapai pertumbuhan positif hampir setiap tahun, namun masih banyak ruang yang boleh diperbaiki serta banyak cabaran yang perlu dilalui dalam membangunkan negeri ini.

 

“(Dan) yang paling utama adalah untuk mempelbagaikan sektor ekonomi agar tidak tertumpu kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan sahaja serta meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini.

 

KETUA Menteri ketika memberi rumusan mengenai Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12, 2021 – 2025 di sini pagi ini. Turut kelihatan Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Sarul Bahiyah Abu (kiri).

“Saya berharap agar pihak Kementerian (MEA) dan Kerajaan Persekutuan dapat memberi perhatian terhadap aspek pembangunan sosioekonomi yang dapat melonjakkan ekonomi Pulau Pinang terutamanya dalam konteks pelaksanaan projek-projek pembangunan berimpak tinggi,” jelasnya yang mahu sinergi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta dapat diteruskan demi manfaat semua.

 

Terdahulu, wakil daripada MEA dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang masing-masing membentangkan hala tuju pembangunan bagi tempoh 2021 sehingga 2025 yang mana penyediaan RMK-12 akan diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 9 Mei 2019.

 

Difahamkan, Wawasan Kemakmuran Bersama dijadikan sebagai satu iltizam dalam membangunkan Malaysia yang mampan serta inklusif dengan berteraskan tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan perekayasaan sosial.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALVIE CHENG