Merdeka dihayati, MBSP semarak patriotisme warga kerja

Admin
img 20260817 wa0054

SEBERANG JAYA – Semangat patriotisme terus disemarakkan dalam kalangan warga kerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerusi Program Sambutan Semarak Merdeka MBSP 2026 yang berlangsung di sini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, sambutan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu bukan sekadar menjadi medan mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu patriotik, malah ruang untuk seluruh warga MBSP menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Menurut beliau, kemerdekaan tidak seharusnya hanya diukur melalui laungan ‘Merdeka’ atau kibaran Jalur Gemilang, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi sikap, tindakan dan sumbangan setiap rakyat kepada negara.

“Bagi warga MBSP khususnya, tugas yang dilaksanakan setiap hari merupakan sebahagian daripada wajah patriotisme.

“Setiap tugasan yang dilakukan dengan amanah, setiap keputusan yang dibuat dengan integriti dan setiap perkhidmatan yang diberikan dengan penuh keprihatinan adalah manifestasi kecintaan kepada tanah air,” katanya dalam amanat sempena program berkenaan pagi tadi.

img 20260817 wa0060img 20260817 wa0056img 20260817 wa0050

Turut hadir, barisan Ahli Majlis, Setiausaha Bandaraya, Dato’ Mohd. Ibrahim Md. Nor; Klketua-ketua jabatan, pegawai kanan serta warga kerja MBSP.

Program tersebut dimulakan dengan perbarisan pembawa bendera, nyanyian lagu Negaraku, Untuk Negeri Kita dan Jayalah MBSP, diikuti bacaan Ikrar Rukun Negara.

Suasana kemudiannya disemarakkan menerusi persembahan Koir MBSP yang dianggotai 20 pegawai daripada pelbagai jabatan dengan lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia.

Turut mencuri perhatian ialah penyertaan 31 graduan kecil termasuk anak-anak TASKA MBSP yang bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang, sekali gus melambangkan usaha menyemai semangat cintakan negara sejak usia muda.

Sambutan turut diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua-Ketua Jabatan serta Flag Off Misi MBSP 2026: ‘3 PEAKS @ SABAH – 3 PUNCAK 1 SEMANGAT’, yang membawa mesej kekuatan semangat, kesatuan dan daya juang warga MBSP.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 50 unit Jalur Gemilang turut diserahkan kepada orang awam di Jalan Perda Utama oleh Baderul Amin bersama-sama Ahli Majlis, Setiausaha Bandaraya dan Ketua-Ketua Jabatan.

Baderul Amin berkata, warga MBSP perlu menjadikan kemerdekaan sebagai amanah untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Medan kita ialah medan perkhidmatan. Senjata kita ialah integriti. Kekuatan kita ialah kerjasama. Matlamat kita ialah kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Jalur Gemilang yang dikibarkan bukan sekadar sehelai bendera, sebaliknya membawa sejarah perjuangan, pengorbanan dan harapan sebuah bangsa.

“Kerana akhirnya, kemerdekaan bukan sekadar sejarah untuk dikenang, tetapi amanah untuk dipelihara, tanggungjawab untuk ditunaikan dan masa hadapan untuk dibina bersama,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMAD IQBAL HAMDAN