Parkir MPSP kekal terendah, sekadar 40 sen sejam

SEBERANG JAYA– Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan terus mengekalkan kadar parkir paling rendah di negara ini, iaitu 40 sen untuk tiap-tiap jam.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata demikian semasa membentangkan pewartaan senarai petak letak kereta yang baru.

“Kadar parkir MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) pun 80 sen sejam, 60 sen sejam di Ipoh dan Taiping, Perak.

“Tapi, MPSP terus kekalkan caj sedia ada sebanyak 40 sen (sejam),” ujarnya baru-baru ini pada sidang media di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamod dan beberapa Ahli Majlis lain antaranya Tan Cheong Heng, Ahmad Tarmizi Abdullah dan Ahmad Kaswan Kassim turut hadir pada sidang media sama.

Maimunah bagaimanapun berkata, MPSP masih berjaya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan kupon harian dan kupon jam, pelekat bulanan serta sewaan petak khas sepanjang tahun lepas.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri menambahkan agen jual kupon di kawasan-kawasan yang diwartakan, selain, langkah penguatkuasaan yang telah sedia dilakukan tiap-tiap hari sejak awal tahun ini.

“MPSP sedang membuat promosi pelekat parkir bulanan, dari RM75 ke RM50,” jelas Maimunah sebagai menghargai partisipasi pelanggan Seberang Perai.

Jadual kutipan yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri dari 8 pagi hingga 9 malam, kecuali pada hari Ahad dan cuti umum.

Sebelum itu, Maimunah dalam mesyuarat penuh mengumumkan bahawa MPSP berjaya memungut RM20.28 juta sepanjang tempoh promosi pembayaran cukai pintu 2014, yang bermula dari 15 November hingga 31 Disember tahun lepas.

Jelas beliau, sebanyak 25,775 pemilik premis layak menyertai cabutan bertuah untuk merebut 77 hadiah istimewa yang disediakan MPSP.

Mereka yang layak boleh menyemak senarai pemenang cabutan bertuah tersebut di laman MPSP, www.mpsp.gov.my mulai 28 Januari lalu.