Mesin simulator di kawasan terlarang, tindakan penguatkuasaan jika ingkar – Exco

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bakal mengharamkan sepenuhnya penggunaan mesin simulator yang beroperasi di luar kawasan pusat membeli-belah, pasar raya dan hotel di negeri ini bermula 2018.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, mulai tahun hadapan, semua aktiviti mesin berunsur judi tersebut hanya dibenarkan di tiga kawasan berkaitan sahaja.

“Selepas 31 Disember, segala pengeluaran dan pembaharuan lesen mesin simulator takkan diperbaharui selain di pusat membeli-belah, pasar raya dan hotel sahaja.

“Mereka (premis) yang berada di luar tiga kawasan tersebut masih boleh beroperasi sebagai pusat hiburan dengan syarat segala aktiviti simulator yang menjurus kepada perjudian dikeluarkan daripada premis. “Sehubungan itu, kita (Kerajaan Negeri) berharap para pengusaha mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengenal pasti dan berpindah ke lokasi baharu sebagaimana ditetapkan.

“Sekiranya ingkar, tindakan penguatkuasaan akan diambil oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mulai Januari ini,” katanya pada sidang media di sini 19 Disember lalu. Hadir sama, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, Azman Sirun (Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP) dan R. Judy Shoba (Pengarah Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan MBPP).

Menurut rekod, bagi kawasan pentadbiran MBPP, sebanyak 33 premis berada di luar kawasan yang ditetapkan membabitkan sejumlah 1,545 mesin simulator.

Manakala, bagi kawasan MPSP, semua 24 premis adalah beroperasi di kawasan ditetapkan. Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah meluluskan Penetapan Dasar Pembekuan Pengeluaran dan Pembaharuan Lesen bagi Aktiviti Permainan Mesin Simulator di Pulau Pinang.

“Pembekuan tersebut adalah melibatkan semua jenis mesin simulator kecuali claw toys atau mainan menggunakan mesin pencengkam.

“Manakala, kategori hotel yang dibenarkan untuk menjalankan aktiviti mesin simulator diperincikan untuk hotel yang bertaraf sekurang-kurangnya 3 bintang sahaja,” ujarnya sambil menambah bahawa hotel 2 bintang dan ke bawah serta motel di premis rumah kedai adalah tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, tambah Kon Yeow, pihak Kerajaan Negeri akan mengkaji semula dasar tersebut pada akhir tahun 2018.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan melakukan kajian semula terhadap dasar ini yang mana mungkin akan meneruskan pembekuan dan pengharaman ataupun (mungkin akan) membenarkan operasi luar daripada tiga kawasan ditetapkan kemudian,” jelasnya.