Mesti menang sekurang-kurangnya 37 kerusi dalam PRN akan datang, kata Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri menyampaikan ucapan dalam majlis berkaitan di sini pada petang tadi.

BATU MAUNG – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mesti mempertahankan sekurang-kurangnya 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PH negeri berkata demikian dalam Majlis Jamuan Teh Bersama-sama Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) N37 Batu Maung di Dewan Balai Raya Sungai Ara di sini pada 1 Januari 2023.

“Sasaran kita (PH) sekurang-kurangnya 37 kerusi.

“Kalau kita (PH) letak sasaran yang lebih rendah, lebih rendahlah pencapaian kita,” tegasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa seluruh kepimpinan PH negeri seharusnya tidak memandang remeh kepada ‘Tsunami Hijau’ iaitu lencongan sokong and pengundi Melayu dan Islam kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum lepas, 19 November 2022.

Pada masa sama, beliau turut menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang supaya membantu ‘Kerajaan Perpaduan’ yang diterajui Perdana Menteri Ke-10 Malaysia, Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim membina semula negara.

“Kita (PH) harapkan Kerajaan Persekutuan ini boleh kekal, jangan ulangi ‘Kerajaan 22 bulan’, sekurang-kurangnya habis satu penggal (PRU15),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Bercakap pada majlis sama, Exco Perdagangan, Industri dan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain merangkap ADUN Batu Maung memberitahu bahawa Kerajaan Negeri PH Pulau Pinang mesti terus berusaha merelevankan perjuangan parti dengan citarasa rakyat dengan memperbaiki polisi sedia ada.

Ini, tambah beliau, termasuk menjadikan Pulau Pinang negeri tumpuan kerjaya berkualiti serta lengkap dengan unit kediaman mampu milik dan selesa demi menguatkan keyakinan rakyat terutama dalam kalangan muda-mudi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada jentera PH terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membantu mempertahankan kemenangan rakyat di kawasan parlimen tersebut pada PRU15 lepas.

Dalam nada sederhana, beliau menyatakan bahawa PKR berharap dapat mempertahankan mandat kemenangan rakyat di ketiga-tiga KADUN dalam kawasan Parlimen Bayan Baru pada PRN akan datang, iaitu Pantai Jerejak, Batu Maung dan Batu Uban.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS