Mesyuarat Exco bincang pampasan mangsa ribut petang ini, respons Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu soal pampasan kepada mangsa-mangsa kejadian ribut baru-baru ini akan dibincangkan dalam sesi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri petang ini.

“Pihak Exco menangguhkan mesyuarat untuk rehat tengah hari…tentang bantuan akan bersambung perbincangannya pada petang nanti,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media di Komtar pada 14 Ogos 2019.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Pembangunan Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan & Kesenian, Yeoh Soon Hin dan Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee turut sertai sidang media itu.

Sebelum itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya telah menerima laporan penuh daripada semua Pejabat Daerah mengenai senarai mangsa yang terlibat dalam kejadian bencana akibat tempias ribut Lekima pada 9 Ogos lalu.

Mengikut daerah, katanya, 895 keluarga mangsa adalah membabitkan Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (183), Seberang Perai Selatan (69), Barat Daya (406) dan Timur Laut (469).

“Jumlah keseluruhan 2,022 keluarga terlibat,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD