Mesyuarat Lembaga PDC dijangka minggu depan, Kon Yeow respons isu projek kolaborasi BKIP2

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Lembaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dijangka mengadakan mesyuarat pada minggu depan bagi membincangkan projek kolaborasi bersama UMECH Land Sdn. Bhd. (UMECH).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa mesyuarat tersebut diadakan adalah susulan daripada surat tunjuk sebab yang diterima oleh PDC daripada pihak UMECH.

“UMECH sudah menjawab (surat tunjuk sebab) kepada PDC berhubung mengapa Sunway ‘dimasukkan’ sebagai pemegang 70 peratus dalam UMECH.

“Mesyuarat Exco juga telah mengambil maklum mengenai keterangan yang diberikan dan hasil mesyuarat hari ini akan dibawa kepada PDC untuk membolehkan mereka membuat keputusan,” katanya yang juga Pengerusi PDC dalam sidang media berkaitan dekat Gat Lebuh China di sini pada 11 Oktober 2023.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa PDC juga pada hari ini turut memberikan taklimat berkaitan proses pengambilan tanah seluas 1,235 ekar dekat Byram yang bermula pada tahun 2014 sehingga usaha terbaru agensi negeri berkenaan untuk mewujudkan kawasan perindustrian baharu ‘secara kolaborasi’ dengan UMECH.

“Tujuan hakiki projek kolaborasi antara PDC dan UMECH yang melibatkan kira-kira 559 ekar tanah dekat Byram adalah untuk menyediakan kawasan perindustrian baharu negeri sekali gus akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Misi PDC adalah menggerakkan pembangunan industri dengan mewujudkan kawasan industri baharu dan dengan wujudnya tanah industri baharu maka boleh dibina kilang serta mencipta peluang-peluang pekerjaan.

“Jadi, terpulang kepada Ahli Lembaga PDC untuk membincangkan mengenai hala tuju projek kolaborasi yang dikenali sebagai Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) itu,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri mahupun PDC tidak pernah menghalang UMECH untuk mencari rakan pelabur mereka asalkan tidak menjejaskan hala tuju asal pembangunan BKIP2.

Beliau memberitahu bahawa sekiranya BKIP2 berjaya diwujudkan ‘secara kolaborasi’, projek tersebut turut akan membawa limpahan manfaat kepada pihak-pihak hartanah yang ada ‘kepentingan’ di sekitar kawasan tersebut termasuk anggota Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) tertentu sendiri.

27 September lepas, media melaporkan bahawa Sunway dan Umech Land akan bersama-sama membangunkan kawasan perindustrian yang melibatkat tanah seluas 559 ekar di Batu Kawan.

Menurut laporan berkaitan, Sunway telah memiliki pegangan dalam Umech Land.

Dalam reaksi balas Pengurus Besar PDC, Dato’ Aziz Bakar memberitahu bahawa penglibatan Sunway dalam Umech Land adalah di luar pengetahuan agensi negeri tersebut.

Susulan itu, beliau berkata Umech Land telah diminta untuk memberikan surat tunjuk sebab di sebalik isu berbangkit tersebut.

“BKIP2 dipanggil sebagai ‘projek kolaborasi’ (yang mana) PDC akan memantau bagi memastikan projek mewujudkan kawasan pelaburan baharu negeri ini ditepati.

“Kita (PDC) tidak akan lepas tangan kepada UMECH untuk bebas menentukan bentuk pembangunan di atas tanah seluas lebih 500 ekar ini,” jelasnya dalam temuramah eksklusif bersama-sama Buletin Mutiara pada 4 Oktober lepas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS