Mesyuarat Penerangan Negeri Zon Utara, bincang hala tuju perkasa sistem penyampaian maklumat kepada rakyat

GEORGE TOWN – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mempengerusikan Mesyuarat Penerangan Negeri (Zon Utara) bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Selain membincangkan hala tuju Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), mesyuarat tersebut turut memberi fokus terhadap peranan jabatan-jabatan negeri dan persekutuan dalam memperkasakan lagi sistem penyampaian maklumat kepada rakyat.

Menurut Gobind, adalah menjadi peranan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar atau program-program baharu Kerajaan Persekutuan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Malah, beliau turut menyarankan agar pendekatan baharu digunakan dalam sistem penyampaian maklumat bagi memastikan ia lebih berkesan serta mampu memberi perspektif kepada rakyat mengenai usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Salah satunya adalah melalui media sosial bagi memastikan segala inisiatif dilakukan oleh pihak kerajaan sampai ke pengetahuan rakyat,” ujarnya yang mahu melihat lebih banyak pendekatan baharu digunakan bagi menyampaikan maklumat berkaitan.

Selain itu, turut dibincangkan adalah langkah bagi mengekang penularan berita palsu termasuk tindakan yang boleh diambil kepada pelaku.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang merupakan Exco Komunikasi Negeri berkongsi pengalaman pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang (dahulunya Pakatan Rakyat) dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat setelah mengambil alih tampuk pentadbiran.

Turut berkongsi pengalaman ialah Exco Komunikasi, Multimedia dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim dan Exco Penerangan, Komunikasi & Multimedia, Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Kedah, Mohd. Firdaus Ahmad.

Difahamkan, Mesyuarat Penerangan Negeri Zon Utara adalah yang kedua setelah mesyuarat sama diadakan bagi Zon Selatan baru-baru ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD