Minat berniaga asas kejayaan usahawan rempah basah

Admin
MD. Saad Salleh (kanan) dan Siti Aminah Ariffin sedang membungkus pek-pek rempah basah keluaran mereka
MD. Saad Salleh (kanan) dan Siti Aminah Ariffin sedang membungkus pek-pek rempah basah keluaran mereka.

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : ALISSALA THIAN

USAHAWAN Md. Saad Salleh telah berusia 70-an. Tidak dinafikan , beliau amat berbangga dengan dirinya yang tidak pernah menjadi ‘kuli’ atau makan gaji dengan mana-mana majikan.

Prinsipnya adalah begitu mudah. Katanya, kerja sendiri fikiran lebih bebas dan sekiranya buat (kerja) lebih akan memperoleh hasil yang lebih lagi. Asalkan berusaha dan jangan tension!

Minat beliau dalam bidang perniagaan disemai sejak kecil lagi. Malah, ketika berusia 13 tahun, Md. Saad mula mengasah bakat berniaga dengan menjual kuih-muih sekitar kampung di Sungai Ayer Itam, Sungai Acheh, Seberang Perai Selatan.

Pada tahun 1979, beliau memulakan perniagaan menjual tauhu dan selepas mendirikan rumahtangga dengan Siti Aminah Ariffin, 66, yang berasal dari Kulim, Kedah, pasangan tersebut kemudian mengintai pasaran pembuatan rempah basah.

REMPAH basah sedia untuk dipasarkan
REMPAH basah sedia untuk dipasarkan.

Tidak ramai yang mengetahui apakah sebenarnya rempah basah. Malah, ketika Buletin Mutiara (BM) berkunjung ke kediaman pasangan tersebut, tiada gambaran jelas diberikan s ehinggalah Md . Saad mengeluarkan produk-produk keluarannya.

“Asal-usul pembuatan rempah ni adalah dari makcik (Siti Aminah). Dia (Siti Aminah) yang terfikir nak buat sebab rempah basah belum pernah orang buat lagi, cuma rempah kering yang selalu orang jual,’’ kata Md. Saad ketika ditemui BM di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, bahan asas pembuatan rempah basah adalah cili, rempah, jintan dan kunyit.

“Semua resipi rempah kami cuba buat sendiri dan inisiatif banyak dari makcik (Siti Aminah),’’ jelasnya.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut , BM kemudian ‘menjejaki’ Siti Aminah yang begitu sibuk dengan urusan di dapur.

Menurut Siti Aminah, asas resipi adalah turun-temurun daripada ibunya. Ini kerana, memang menjadi kewajipan bagi keluarga beliau menggunakan bahan-bahan asli untuk membuat rempah kari dengan teknik ‘giling’ berbanding produk-produk di pasaran.

“Dari sana, saya belajar dan mempraktikkan segala teknik serta bahan yang digunakan.

“Selepas berkahwin, timbul pula minat untuk berniaga, maka, saya dan pakcik (Md. Saad) bersetuju untuk cuba menghasilkan paket-paket rempah basah dan kemudian jual,’’ ujar beliau.

Sebagai permulaan, produk yang dihasilkan adalah rempah basah daging dan ikan. Dalam tempoh enam tahun , penghasilan produk dikembangkan kepada sambal tumis, kurma dan rendang sehingga kini.

Selepas mendapat pasaran tetap di kawasan berhampiran berserta maklum balas positif, produk kemudian dipasarkan ke Bandar Perda dan Kuala Lumpur (melalui perkhidmatan pos atau bas ekspress).

Kini, setiap hari, sebanyak 200 bungkus rempah basah pelbagai perisa dihasilkan pasangan berkenaan dengan bantuan dua pekerja tempatan.

“Lazimnya, 200 bungkus tidak dapat menampung permintaan harian, namun, ekoran tidak memiliki peti ais bersesuaian, penghasilan produk adalah amat terhad.

“Peti ais yang digunakan adalah peti ais sama yang memuatkan bahan-bahan makanan seisi keluarga. Maksimum 400 bungkus dapat dimuat di dalam peti ais (bahagian sejuk beku), namun, kami perlu mengeluarkan barang makanan yang ada,’’ kata Md. Saad yang berharap terdapat pihak yang sanggup tampil membantu beliau menyelesaikan dilema berkenaan.

Selain peti ais, Md. Saad turut berharap untuk mendapatkan sebuah mesin pengering cili supaya pengeluaran produk tidak terjejas menjelang musim hujan sebagai perancangan masa depan.

Bagi Md. Saad, kejayaan yang dikecapi kini adalah hasil daripada sikap kesabaran dirinya dalam bidang perniagaan.

“Apabila berniaga, kita kena banyak sabar. Kadang-kadang terjumpa pelanggan yang tak bayar dan ada sebaliknya,’’ jelas beliau mengakhiri sesi temuramah bersama BM.

PEK-pek rempah basah pelbagai perisa.
PEK-pek rempah basah pelbagai perisa.