GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menzahirkan penghargaan kepada 49 anggota Persatuan Bomba Sukarela (PBS) yang terlibat dalam misi bantuan banjir serta operasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di Hatyai, Thailand baru-baru ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, penglibatan anggota PBS daripada 11 persatuan bersama sokongan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membuktikan kemampuan pasukan berkenaan melaksanakan operasi penyelamatan merentas sempadan secara cekap dan tersusun.
Beliau berkata, pasukan tersebut memainkan peranan penting dalam pelbagai tugasan kritikal termasuk penyelarasan pergerakan, bantuan evakuasi, pengurusan logistik dan pemantauan keselamatan rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir besar di wilayah berkenaan.
“Majlis penghargaan khas yang diadakan semalam (11 Disember 2025) adalah pengiktirafan rasmi Kerajaan Negeri terhadap keberanian, dedikasi dan profesionalisme tinggi ditunjukkan anggota PBS dalam memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, sijil penghargaan turut disampaikan kepada semua 49 anggota terlibat sebagai tanda penghormatan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam misi tersebut.
Dalam pada itu, Mooi Lye berkata, usaha itu mencerminkan semangat kesukarelawanan yang berteraskan integriti, keprihatinan dan komitmen kemanusiaan yang tinggi, selain menjadi inspirasi kepada masyarakat serta generasi sukarelawan masa depan.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, yang komited memperkasa PBS sebagai rakan strategik dalam pengurusan bencana serta meningkatkan kesiapsiagaan bagi misi bantuan di dalam dan luar negara.
Pada majlis berkaitan, pasukan bomba sukarela yang menerima penghargaan adalah PBS Kepala Batas; PBS Taman Sukun; PBS Taman Merak Jaya; PBS Kuala Sungai Pinang; PBS Bukit Bendera; PBS Sungai Puyu; PBS Perak Lane; PBS Bagan Ajam; PBS Bukit Mertajam; PBS Berapit; PBS Juru dan Blue Sky Rescue.
Gambar: EXCO