MKBBT akui cabaran persatuan belia masa kini

GEORGE TOWN – Mengekalkan kepimpinan sedia ada dan kekangan kewangan antara punca persatuan-persatuan belia menjadi tidak aktif kini.

Pengerusi Majlis Kelab Bell Belia Tamil (MKBBT), S. Manikandan berkongsi pandangan sedekimian pada pertemuan bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar hari ini.

Menurut beliau, meskipun banyak cabaran yang perlu dihadapi persatuan belia kini, namun paling menyerlah adalah isu kepimpinan serta sokongan kewangan yang tidak mencukupi.

“Apabila akta menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun diluluskan di Dewan Negara tahun lalu, perubahan dari segi struktural persatuan perlu dilakukan.

“Sebelum inipun agak sukar menarik minat belia untuk menyertai mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan kerana komitmen mereka sebagai pelajar di sekolah mahupun di universiti.

KETUA Menteri menerima kunjungan Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Kelab Bell Belia Tamil di pejabatnya, hari ini.

“(Dan) kini adalah agak sukar mengekalkan kepimpinan atasan apabila had umur belia diturunkan, dan ia merupakan satu cabaran buat kami di pihak persatuan,” ujarnya.

Manikandan yang mengetuai delegasi 11 ahli MKBBT mengadakan kunjungan hormat buat julung kalinya turut menyuarakan kekangan kewangan sebagai salah satu faktor lain yang menyebabkan persatuan tersebut terpaksa menghentikan beberapa program utama sejak dua tahun lalu.

“Fiesta Tamil, kem kepimpinan, kem untuk peralihan pelajar sekolah dan ‘Rakan Bell’ merupakan program utama MKBBT sejak dahulu.

“(Dan) program-program yang dianjurkan ini adalah bertujuan untuk mencari pelapis kepimpinan belia Tamil pada masa hadapan selaras pembangunan negara,” katanya yang turut mengemukakan permohonan pertimbangan peruntukan daripada Kerajaan Negeri bagi menggerakkan program-program belia di peringkat persatuan.

Dalam pertemuan selama sejam itu, turut dibangkitkan beberapa isu mengenai pembangunan kerjaya belia Tamil, pengiktirafan persatuan belia serta pembentangan mengenai sejarah penubuhan, objektif dan hala tuju MKBBT.

MKBBT ditubuhkan pada 22 Januari 1975 dan merupakan pertubuhan belia Tamil berdaftar di negeri ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow sebagai respons turut mengakui akan wujud cabaran dalam menarik minat golongan belia menyertai pertubuhan bukan kerajaan, walaupun tanpa mengenakan had umur minimum.

Bagi pihak Kerajaan Negeri melalui Exco Belia dan Sukan, YB Soon Lip Chee, saya percaya beliau mempunyai perancangan dalam pembangunan belia di negeri ini.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam pembangunan belia termasuk MakerLabs di peringkat sekolah yang memberi peluang kepada pelajar secara ‘hands-on’ mendalami subjek sains, robotik dan sebagainya.

“(Dan) itu adalah sumbangan kecil Kerajaan Negeri dari segi pendidikan meskipun pendidikan berada di bawah (bidang kuasa) Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Sebagai rekod, Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang turut memperuntukkan had umur pemegang jawatan dalam suatu persatuan belia berdaftar tidak kurang daripada 18 tahun serta tidak lebih 30 tahun pada tarikh lantikan.

Difahamkan, pelan transisi had umur belia itu hanya akan bermula secara rasmi pada akhir Disember 2021.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN