MLBB 2026 Pengkalan Kota platform belia serlah bakat e-sukan

Admin
1

PENGKALAN KOTA – Kejayaan penganjuran sulung Kejohanan E-Sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2026 di kawasan Pengkalan Kota membuktikan kepentingan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak dalam menyediakan lebih banyak platform kepada golongan belia untuk menyerlahkan bakat serta kemahiran dalam bidang e-sukan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng berkata, kejohanan yang berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 September lalu itu merupakan pertandingan e-sukan pertama seumpamanya dianjurkan di kawasan berkenaan.

 

Menurut beliau, sokongan dan kerjasama yang diterima sejak peringkat persiapan sehingga hari pertandingan banyak membantu memastikan kejohanan tersebut berlangsung dengan lancar dan berjaya.

 

“Ini merupakan kali pertama kejohanan e-sukan seumpama ini dianjurkan di kawasan Pengkalan Kota,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

 

2

 

Beliau berharap lebih banyak pertandingan e-sukan dapat dianjurkan pada masa akan datang bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan belia, selain menyediakan platform untuk peminat e-sukan berinteraksi dan menguji kemahiran masing-masing.

 

Dalam kejohanan tersebut, pasukan Rio Cute muncul juara selepas menewaskan pencabar lain, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

 

Kejohanan berkenaan dianjurkan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Pengkalan Kota bersama Incanto, dengan tajaan serta sokongan daripada Pusat Khidmat ADUN Pengkalan Kota.

 

Pengerusi JBPP Pengkalan Kota, Willie Ong Wei Lin; Setiausaha JBPP Pengkalan Kota, Ong Lin Pin dan wakil Incanto turut hadir memeriahkan kejohanan tersebut.