Modal insan pemangkin masa depan negeri, mahasiswa diseru pulang berbakti

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pembangunan modal insan dalam kalangan anak-anak muda terutamanya golongan mahasiswa menjadi aset kepada kemajuan masa depan negeri, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, selepas 10 tahun memerintah, Kerajaan Negeri terus memberikan penekanan kepada pembangunan modal insan bagi memastikan negeri terus kekal berdaya saing memandangkan Pulau Pinang tidak mempunyai sumber-sumber semula jadinya sendiri.

“Seperti yang kita (Kerajaan  Negeri Pakatan Harapan) laksanakan kini, pemberian one-off sumbangan daftar masuk universiti sebanyak RM1,000 bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak (RM1,200) diharap dapat menggalakkan anak-anak jati Pulau Pinang untuk kembali berkhidmat di sini.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan pastikan anda mempunyai peluang pekerjaan apabila kembali kelak, kerana tidak ada guna jika panggil anda pulang tetapi tidak mempunyai pekerjaan yang mencukupi…saya rasa itu lebih penting.

“Malah, sepanjang tempoh mentadbir Pulau Pinang, Kerajaan Negeri berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan sehingga mencatatkan pengangguran antara terendah di Malaysia dengan sekadar 2 peratus sahaja,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Demikian di antara ungkapan Guan Eng ketika merasmikan Majlis Persidangan Mahasiswa Pulau Pinang anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) di sini 2 Februari lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PYDC, Teng Kok Liang.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan, Kerajaan Negeri cuba untuk mewujudkan satu iklim yang mana bukan sahaja mudah mendapatkan pekerjaan di Pulau Pinang, malah juga mewujudkan sebuah bandar berdaya huni dan mampan untuk warganya.

“Selain pekerjaan, kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan) mahu wujudkan suatu suasana mampan dan berdaya huni untuk warga negeri menjalani kehidupan dalam suasana yang bersih, hijau, sihat serta selamat.

“Untuk memastikan semua harapan ini terlaksana, kita perkenalkan rakan kongsi 4P (public, private, people dan professional).

“Sektor awam dan swasta yang saling bergandingan akan mewujudkan rakyat yang lebih harmoni…pada masa sama bagi mendepani dunia kian mencabar kini pandangan serta rujukan daripada pihak profesional tidak boleh diketepikan, dan itulah sebabnya anda semua (mahasiswa) perlu kembali dan membangunkan Pulau Pinang,” serunya.

Kira-kira 200 anak jati Pulau Pinang yang merupakan mahasiswa dari universiti awam dan swasta seluruh negara hadir pada majlis tersebut.