Ekonomi ada ‘pertumbuhan’, namun rakyat tidak dapat rasai, KM gesa Pusat bertindak tegas

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mahu Kerajaan Pusat memberi perhatian yang sewajarnya terhadap kenaikan harga barang.

Beliau berkata demikian sambil merujuk kepada kenyataan Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin yang disiarkan di sebuah laman portal online bertarikh 5 Februari lalu yang menyentuh tentang kenaikan harga barang di negara ini.

“Sungguhpun kita lihat pembangunan ekonomi baik, namun harga barang untuk orang bawah, kita tak rasai ekonomi tumbuh dengan begitu baik.

“Contohnya kubis, naik 29 peratus, ikan kembung hitam 20 peratus, sos cili 39 peratus dan sardin naik 31 peratus,” jelasnya pada sidang media di sini 11 Februari lalu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.

Menurut Guan Eng, situasi tersebut membuktikan bahawa sungguhpun ekonomi dikatakan tumbuh baik seperti yang dinyatakan Kerajaan Pusat, namun rakyat tidak merasainya.

“Rakyat tidak cukup wang belanja kerana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)… dan itulah saya nak Pusat jawab tentang hal ini.

“Ia (kenaikan harga barang) menjejaskan orang bawah, saya nak satu tindakan tegas diambil, ini satu isu besar,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Tambah Guan Eng, antara penyelesaian yang boleh diambil ialah dengan menghapuskan GST.

“Kerajaan Pakatan Harapan sememangnya berhasrat menghapuskan GST sambil mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) apabila menguasai Putrajaya.