Model tadbir urus baik, kepimpinan bersih fokus utama Kerajaan Negeri

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Model tadbir urus yang baik dan kepimpinan bersih menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri keusahawanan dan berkebajikan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT) Ke-78 tahun ini.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri akan terus mentransformasikan Pulau Pinang, bukan sahaja sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar, malah menjadi pilihan utama para pelabur seluruh dunia.

“Walaupun Pulau Pinang tidak mempunyai sumber semulajadi dan ketandusan peruntukan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan, Pulau Pinang telah berjaya mencapai pembangunan menyerlah dengan bergantung kepada tadbir urus yang baik.

“Membina bakat sumber manusia bersandarkan Perkongsian Kerjasama Awam – Swasta (PPP) terutama dalam projek-projek berkepentingan awam, menjanakan pembangunan yang mampan.

“Ia terbukti apabila projek Penang Science Cafe yang bernilai RM20 juta dibiayai secara awam. Begitu juga, projek Penang Tech Dome, pusat kecemerlangan sains dan teknologi yang bernilai RM28 juta dibiayai secara awam dan perkongsian bersama sektor swasta,” katanya yang mengalu-alukan sektor swasta melabur dana dan kepakaran dalam projek-projek atau inisiatif awam Kerajaan Negeri. Guan Eng dalam pada itu menyeru agar rakyat negeri ini terus mengekalkan perpaduan dan menangani perbezaan pendapat serta fahaman politik dengan bijaksana.

“Walaupun terdapat perbezaan pendapat, namun usaha gigih mestilah diteruskan dalam mencari titik penyelesaian demi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan di antara kaum di negeri ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut memperbaharui ikrar dan taat setia tidak berbelah bahagi kepada TYT, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Beliau turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Jadi ke-78 kepada Abdul Rahman dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan Abdul Rahman bersama-sama isteri, Toh Puan Majimor Shariff.