TYT seru rakyat, pimpinan pertahan keamanan negeri

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas menyeru supaya kemakmuran dan keamanan yang dikecapi negeri pada masa ini dipertahankan.

Beliau berkata, rakyat Pulau Pinang harus bersyukur kerana dikurniakan sebuah negeri yang penuh dengan nikmat.

“Semua kurniaan Allah SWT ini perlu ditatang dan dipelihara dengan penuh iltizam dan istiqamah.

“Kemakmuran dan keamanan yang dikecapi selama ini harus disyukuri dan dipertahankan kelangsungannya kerana kedua-duanya merupakan asas kepada jatuh bangunnya sesebuah negeri.

“Keamanan adalah pemangkin kelangsungan kemajuan dan pembangunan sesebuah negeri,” ucapnya pada Majlis Penganugerahan Darjahdarjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Majlis Sambutan Ulang Tahunnya Ke-78 dekat Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Abdul Rahman memberitahu, rakyat dan pimpinan negeri perlu mengelakkan pertelagahan sesama sendiri dan mempertahankan kemakmuran yang dikecapi.

“Perkara-perkara kecil dan remeh tidak harus diperbesarkan dan perlu diselesaikan sebagai satu keluarga besar.

“Saya menyeru kepimpinan Kerajaan Negeri supaya memperkukuhkan landasan yang dibina selama ini untuk meningkatkan lagi keharmonian dan kesejahteraan pada masa akan datang,” ujarnya yang juga berharap agar hubungan baik dan kerjasama yang terjalin di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan agar agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan demi kesejahteraan semua.

Menurut Abdul Rahman, untuk mewujudkan sebuah negeri yang memiliki ciri-ciri negeri yang baik dan mendapat pengampunan Allah SWT, menuntut usaha keras pelbagai pihak.

“Segala kerja keras dan komitmen padu kepimpinan negeri memerlukan sokongan dan dokongan daripada seluruh rakyat Pulau Pinang.

“Dalam hal ini, saya amat berterima kasih kepada barisan kepimpinan negeri di bawah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana telah berjaya mentadbir dan membangunkan negeri Pulau Pinang dengan penuh dedikasi, tekun, jujur dan telus sehingga rakyat dapat menikmati pembangunan dan kemajuan dengan adil dan saksama,” jelasnya di Dewan Istiadat.

Seramai 1,223 penerima telah diperkenankan menerima Darjahdarjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena majlis sambutan berkenaan.