Terima kasih pekerja 3D kerana jadikan Pulau Pinang bersih, hijau, sihat dan selamat

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada 10 Pekerja Am Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP (8) yang menerima Pingat Kehormatan Negeri baru-baru ini.

Guan Eng yang ditemui di Dewan Sri Pinang sejurus tamat istiadat Penganugerahan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT) Ke-78 berkata, beliau amat berterima kasih kepada semua Pekerja Am keduadua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan kerana melaksanakan tugas 3D iaitu sukar (difficult), bahaya (dangerous) dan kotor (dirty).

“Terima kasih kepada mereka (Pekerja Am 3D) kerana usaha mereka telah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

“(Dan) Kerajaan Negeri memandang berat serta menghargai usaha keras mereka bukan macam dulu (kerajaan Barisan Nasional terdahulu), tidak pernah memberi pengiktirafan, tetapi sekarang kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan) memberi pengiktirafan kepada mereka kerana melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan cemerlang,” ujarnya pada sidang media ringkas di sini.

Turut sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow. Dalam pada itu, Guan Eng mengakui bahawa sebelum ini masyarakat Malaysia memandang pekerjaan 3D ini hanyalah pekerjaan warga asing.

“(Namun), sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia sedia melakukan kerjakerja 3D, tetapi dengan syarat kita memberi pengiktirafan dan layanan yang baik atas usaha dan kerja cemerlang mereka.

“Sebab itu, hari ini, kita (Kerajaan Negeri) mengiktiraf mereka (pekerja 3D) yang sedia bekerja keras dalam pekerjaan 3D demi kebersihan dan keselamatan awam,” ujar beliau.