Mohon peruntukan KN, ADUN harap prasarana dan sekolah kemahiran dapat diperkasakan

GEORGE TOWN –  Kerajaan Negeri dimohon wujudkan peruntukan khas kepada sekolah-sekolah yang mempunyai ‘kemahiran’ sejajar dengan aspirasinya mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.
Saranan tersebut disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas yang berlangsung hari ini.
Beliau dalam ucapannya berkata, peruntukan khas tersebut dapat membantu sekolah-sekolah yang mengambil inisiatif khas mewujudkan kelas-kelas kemahiran di sekolah masing-masing.
“Ini adalah langkah proaktif yang diambil pihak pengurusan sekolah dengan mewujudkan kelas-kelas kemahiran khas seperti kulinari dan automatif.
“Program kemahiran khas ini diwujudkan dengan kerjasama  pihak luar (swasta) agar apabila pelajar-pelajar ini tamat persekolahan kelak, mereka terus akan diserap ke alam pekerjaan,” ujarnya.
Justeru, Muhammad Faiz berpendapat inisiatif yang dijalankan tersebut merupakan satu langkah yang harus dipuji bagi membantu pelajar-pelajar yang agak ketinggalan di dalam pelajaran agar dapat menimba kemahiran yang lebih bersesuaian.
“Jika lebih banyak sekolah mengambil inisiatif seperti ini amat baik sekali, tetapi seperti yang umum ketahui program-program sebegini sememangnya memerlukan kos untuk melaksanakannya dan diharap ianya mendapat pertimbangan wajar daripada pihak Kerajaan Negeri,” ujarnya lanjut.
Dalam pada itu, pada sesi sidang DUN yang sama Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas) turut menyuarakan hasrat  agar prasarana di sekolah-sekolah kebangsaan diberikan fokus.
Katanya, Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri harus memperkasakan semula prasarana pendidikan.
“Seperti di sekolah-sekolah kini tidak mempunyai prasarana lengkap atau pun jika ada, rosak tidak boleh digunakan.
“Masih ada sekolah abad ini yang tidak mempunyai musolla atau surau walaupun pelajar Islamnya melebihi 1,000 orang, tandas yang tersumbat, dewan yang tidak boleh digunakan dan pelbagai lagi,” ujarnya.
Katanya, Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan Negara baru-baru ini memperuntukkan RM60.2 bilion bersamaan 19 peratus untuk pembangunan sekolah.
“Namun demikian, Kerajaan Negeri juga perlu memberikan fokus untuk membantu sekolah-sekolah kebangsaan melalui peruntukannya bagi mempercepatkan pemerkasaan sekolah,” ujarnya sambil menyeru semua pihak agar bekerja keras ke arah mendaya saingkan anak bangsa generasi masa depan.