Motosikal terbakar, ADUN harap suspek ditangkap

Admin

KEBUN BUNGA – Sebanyak 13 motosikal musnah terbakar dalam kejadian di Blok A dan B, Rumah Pangsa Padang Tembak di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Cheah Kah Peng berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakamkan kelibat dua lelaki dipercayai membaling sebutir bom petrol.

“Saya percaya segelintir pihak tertentu ini sengaja ingin menimbulkan kacau bilau dan suasana tidak tenteram di kediaman Padang Tembak dengan beberapa siri kejadian merosakkan kemudahan awam serta harta penduduk setempat.

“Saya syak ini sengaja dilakukan supaya penduduk berasa takut dan bimbang untuk tinggal di sini, lantas mengambil kesempatan menyalahkan pihak tertentu,” ujarnya ketika melawat kewasan kejadian di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abd. Rashid.

Tambah Kah Peng, kemudahan CCTV yang dipasang oleh Kerajaan Negeri mungkin dapat membantu untuk mengesan dan menangkap suspek tersebut.

Salah seorang mangsa, Sahriffuddin Hashim, 52, ketika ditemui ternyata terkejut dan marah dengan kejadian tersebut yang sama sekali memusnahkan mata pencarian beliau sebagai seorang penghantar surat.

“Motosikal ini adalah punca saya mencari rezeki… sudah tentu kecewa dengan kejadian yang menimpa,” tegasnya yang hanya menyedari motosikal beliau musnah dalam kebakaran sebaik sahaja ingin ke tempat kerja kira-kira jam 7.30 pagi keesokan harinya.