MoU langkah awal IKEA di P. Pinang

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MARK JAMES

GEORGE TOWN – Aspen Group Holdings Sdn. Bhd. (Kumpulan Aspen) dan Ikano Pte. Ltd. (Ikano) iaitu sebuah syarikat francais IKEA di Malaysia baru-baru ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi melaksanakan pembangunan bersepadu Aspen Vision City bernilai RM8 bilion termasuk pembinaan gedung perabot IKEA di Bandar Cassia, Batu Kawan baru-baru ini di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aspen, Datuk M. Murly berkata, pembangunan bercampur berkonsepkan eko-bandar tersebut akan merangkumi gedung IKEA yang pertama di rantau utara Malaysia, selain daripada pembangunan bercampur lainnya.

“Selepas hampir dua tahun melaksanakan kajian terperinci, kami percaya Batu Kawan adalah bandar masa depan dan pusat perniagaan buat Pulau Pinang.

“Dengan termeterainya perjanjian ini, Aspen dan Ikano dengan serta-merta boleh memulakan langkah awal membabitkan kajian impak, tinjauan pemasaran dan permintaan semasa sebelum kerja-kerja pembangunan dimulakan di tapak projek,” ujarnya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani MoU Antara Aspen Vision Land Sdn. Bhd., Ikano dan PDC di sini baru-baru ini.

Hadir menyaksikan pemeteraian tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar, Pengarah Urusan Ikano, Christian Rojkjaer dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Fasa pertama projek yang terdiri daripada gedung IKEA dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018.

Manakala, fasa kedua yang merangkumi komponen-komponen lain seperti bangunan komersial, kompleks pejabat, sekolah antarabangsa dan hotel dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Guan Eng dalam pada itu berkata, dengan pembukaan IKEA di Batu Kawan dan pertama di wilayah utara akan menjadikan kawasan tersebut sebagai pemangkin utama aspirasi negeri ke arah sebuah bandar moden dan pintar masa depan.

“Pembukaan IKEA besar maknanya buat Pulau Pinang.

“Kita perlu wujudkan kelompok kreatif. IKEA adalah salah satu komponen kreatif yang mempunyai kriteria 3T iaitu bakat (talent), teknologi (technology) dan tolak ansur (tolerant).

“Kerana, IKEA lengkap dengan contoh kepimpinan dari segi produk, harga mahupun kualitinya,” ujar beliau.