MP Batu Kawan gesa Putrajaya atasi gejala sosial

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BATU KAWAN – Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani menggesa Kementerian Belia dan Sukan supaya mencari satu formula berkesan bagi mengatasi masalah gejala sosial yang dipercayai semakin meruncing dalam kalangan anak muda kini.

Gesaan itu dibuat berikutan jawapan menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Parlimen yang mengatakan bahawa kerajaan mempunyai cadangan menggunakan mat rempit sebagai mata dan telinga kepada pihak polis.

“Cadangan tersebut dilihat akan menyebabkan gejala negatif seperti salah guna kuasa yang diberikan lebih berleluasa.

“Kerajaan (Pusat) sepatutnya mencari formula yang lebih efektif dan mendengar keluhan anak muda bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui pada program Batu Kawan 201M Drag Battle 2014 anjuran bersama MUSC Motorsports (MUSC) dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) di perkarangan Stadium Batu Kawan di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden MUSC, Nizam Sazili atau lebih dikenali sebagai Nizam ‘Ahkau’.

Tambah Kasthuriraani, sudah tiba masanya kerajaan (Pusat) mendengar permintaan anak muda dan melihat kepada masalah yang lebih besar.

“Antara punca menyumbang kepada masalah ini adalah ketiadaan peluang pekerjaan yang mencukupi dan tidak melaksanakan gaji minima secara keseluruhan,” tegasnya.

Mengulas mengenai penganjuran tersebut, Kasthuriraani memberitahu bahawa aktiviti seumpama itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan gejala negatif.

“Usaha yang dijalankan MUSC dilihat dapat membendung budaya mat rempit kerana mereka (penganjur) menyediakan trek yang selamat kepada peserta berminat.

“Saya harap pihak kerajaan dapat mempromosikan aktiviti seperti ini dan memberi sokongan kepada MUSC dalam usaha membendung aktivti negatif anak muda kini,” seru beliau.

Dalam pada itu, menurut Nizam, kira-kira 15,000 peminat sukan bermotor yang hadir pada hari pertama penganjuran sukan berkenaan.

“Setiap peserta diwajibkan mempunyai lesen memandu yang sah, pengalaman memandu mencukupi dan geran kenderaan sebelum dibenarkan berlumba.

“Ini adalah bagi memastikan supaya tidak berlakunya gejala negatif dalam sukan bermotor ini dan juga tidak membabitkan barangan curi dalam perlumbaan,” jelasnya.

Pemenang bagi setiap kategori membawa pulang trofi, sijil penyertaan dan juga wang tunai.