Derma darah bantu golongan perlu – ADUN

Admin

GELUGOR – Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Pekaka, Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini menganjurkan Kempen Derma Darah dalam usaha mengisi tabung darah di negeri ini.

Menurut ADUNnya, Dr. T. Jayabalan, kempen yang dianjurkan berkenaan adalah sebahagian usaha membantu Unit Tabung Darah menambah bekalan bagi menangani kes kecemasan.

“Usaha ini juga bertepatan dengan seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan golongan muda dalam aktiviti kemasyarakatan dan sukarelawan.

“Saya percaya menerusi kempen ini, ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menderma darah untuk kesihatan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Taman Pekaka di sini baru-baru ini.

Selaras dengan penganjuran tersebut, Jayabalan juga menyeru seluruh masyarakat khususnya warga Pulau Pinang untuk merutinkan derma darah kerana setitik darah mampu menyelamatkan nyawa golongan memerlukan.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan buah kurma kepada penderma dan penduduk yang hadir menjayakan kempen tersebut.