MP seru usahawan tempatan rebut peluang tembusi pasaran antarabangsa

PANTAI JEREJAK – Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyeru usahawan digital tempatan supaya mengambil peluang daripada perjanjian dagangan bebas (FTA) melalui Regional Economic Comprehensive Partner(RCEP) untuk memperluaskan perniagaan.

Menurutnya, peluang tersebut membolehkan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh para usahawan digital tempatan ini dapat menembusi pasaran antarabangsa terutamanya negara China yang mempunyai pasaran luas.

“FTA lazimnya mempunyai bahagian positif dan negatif, sudut positif kita boleh tembusi pasaran Jepun, China, Australia dan sebagainya… negatifnya (produk dan perkhidmatan) negara luar juga boleh masuk ke pasaran kita.

“Ambil contoh promosi jualan 11.11 lalu, banyak barangan dari luar negara berjaya dijual di Malaysia, melalui petikan berita, syarikat penghantaran mendapat pesanan dua kali ganda daripada biasa.

“Barangan dari China membanjiri Malaysia, malangnya barangan kita tidak terjual di sana.

“Jadi saya menyeru kepada usahawan di Malaysia ambil peluang melalui RCEP ini untuk menembusi pasaran luar,” ujarnya dalam satu sidang media sejurus mengedarkan kalender tahun 2021 di Kompleks Makanan Awam Bayan Baru kelmarin.

Mengulas lanjut, Tze Tzin memberitahu bahawa melalui statistik daripada syarikat Alibaba Group, lima barangan tertinggi dibeli oleh rakyat China di pasaran Malaysia adalah kopi putih, biskut Julie’s dan tiga lagi jenama kopi putih yang disifatkannya sebagai barangan bernilai rendah.

Mengambil contoh negara jiran Thailand, usahawan negara ‘Gajah Putih’ tersebut banyak mengeksport kosmetik dan produk yang mempunyai nilai pasaran tinggi.

“Melalui satu sekolah akademi Jack Ma, mereka juga memberi fokus terhadap penjualan untuk menembusi pasaran Malaysia dan Asia Tenggara melalui pelbagai jualan.

“Jadi adalah tidak mustahil sekiranya usahawan-usahawan kita berusaha untuk menembusi pasaran antarabangsa melalui FTA RCEP yang dimeterai oleh Malaysia bersama-sama negara-negara di Asia Tenggara, Korea Selatan, Jepun, China dan Australia,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, ketika memberi respons mengenai Bajet 2021, selaku mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tze Tzin mengajak para nelayan untuk merebut peluang pinjaman RM150 juta yang ditawarkan bagi pembelian vesel baharu. I

Katanya, melalui naik taraf kepada vesel yang lebih moden, industri penangkapan ikan mampu membawa pulangan lebih lumayan dengan kelengkapan teknologi terkini.

“Apa yang lebih penting diharap ia akan mampu menarik golongan muda berikutan nelayan yang ada pada hari ini sudah berusia dan sektor rantaian makanan ini perlu ada pelapis dengan menjanjikan pulangan lumayan,” jelasnya.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI