GEORGE TOWN – Malaysia’s Progressive Entrepreneurs Chamber of Commerce (MPE) perlu berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan usahawan dengan peluang pasaran, modal, teknologi, bakat dan kerjasama strategik bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, penubuhan MPE dilihat bertepatan dengan perubahan pesat dalam persekitaran perniagaan susulan perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), perubahan rantaian bekalan global serta kehendak pengguna yang semakin meningkat.
“Keusahawanan pada masa kini bukan lagi sekadar berkaitan memulakan perniagaan, sebaliknya melibatkan usaha mencipta nilai, menerima perubahan serta membina perniagaan yang mampu berkembang, bersaing dan membuka peluang melangkaui sempadan negara.
“Dalam persekitaran ini, saya percaya sebuah dewan usahawan progresif boleh memainkan peranan penting.
“Hal ini kerana peranannya bukan sekadar menghimpunkan usahawan dalam satu ruang, tetapi menggerakkan perniagaan daripada jaringan kepada kerjasama, seterusnya membuka peluang komersial dan pertumbuhan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi MPE dan Business Premier 2026 dekat sini pada 30 September 2026.
Turut hadir, Konsul Jenderal Republik Indonesia (Konjen RI) Pulau Pinang, Bapak Wanton Saragih Sidauruk, Presiden MPE, William Khoo Chin Wei serta dif-dif kehormat lain.

Mengulas lanjut, Choon Aik turut menyatakan bahawa MPE berpotensi menjadi penghubung antara usahawan Malaysia dengan peluang perniagaan di peringkat serantau termasuk Indonesia serta pasaran antarabangsa.
“Kedudukan Malaysia di Asia memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk melihat pasaran yang lebih luas dan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik.
“Pada masa yang sama, kita perlu memastikan perniagaan bersedia menghadapi masa hadapan kerana AI, pendigitalan, automasi dan kelestarian bukan lagi ancaman yang jauh, sebaliknya sudah mengubah cara perniagaan beroperasi dan bersaing.
“Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya, cabarannya bukan sekadar mengetahui perubahan sedang berlaku, tetapi bagaimana untuk bertindak balas dan melakukan transformasi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Choon Aik turut menekankan kepentingan MPE dalam membangunkan generasi usahawan muda menerusi aspek bimbingan, pendidikan keusahawanan, pembangunan kepimpinan dan hubungan antara generasi dalam dunia perniagaan.
“Usahawan berpengalaman mempunyai pengalaman, rangkaian serta pengajaran yang boleh dikongsikan, manakala golongan muda pula membawa idea baharu, perspektif segar dan kesediaan mencabar kaedah sedia ada.
“Apabila kita menghubungkan pengalaman dengan golongan muda, kita mewujudkan ekosistem yang membolehkan pengetahuan dipindahkan, inovasi digalakkan dan perniagaan baharu berkembang dengan lebih kukuh.
“Justeru, saya berharap MPE terus menjadi platform keusahawanan yang berwibawa, inklusif dan berkesan dengan kerjasama erat bersama kerajaan, industri serta rakan antarabangsa.
“Semoga MPE terus belajar, berhubung dan berkembang pada masa hadapan,” katanya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN