MPPP kecam pelekat permit sepanduk palsu

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengecam tindakan sesetengah pihak yang didapati memalsukan pelekat permit sepanduk dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit di sini baru-baru ini.

Ahli Majlisnya, Ong Ah Teong berkata, beliau amat terkilan dan mengecam tindakan sesetengah pihak yang memandang enteng terhadap pemalsuan pelekat permit.

“Pemalsuan pelekat permit sepanduk ini adalah perkara yang serius dan Juruteknik Kanan MPPP telahpun membuat laporan polis pada 14 Februari lalu di Balai Polis Jalan Patani di sini.

“Syarikat yang ingin mengiklankan produk mereka perlu mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum ianya boleh digantung dalam usaha memerangi iklan ‘haram’ di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media dekat sini baru-baru ini.

Pada 10 Februari lalu, Bahagian Pelesenan MPPP telah mengadakan operasi pemutihan di beberapa lokasi sekitar Pengkalan Weld, Jalan Jelutong, Jalan Tengah, Jalan Perak serta Jalan Balik Pulau dan mendapati bahawa sepanduk sebuah syarikat telekomunikasi tidak mematuhi syarat ditetapkan.

“Selain memasangnya terlalu rendah, pelekat permit sepanduk juga didapati meragukan.

“Setelah perbandingan dibuat, MPPP mendapati bahawa kebanyakan pelekat permit tersebut adalah palsu.

“Lanjutan itu, MPPP telah mengeluarkan kompaun bernilai RM83,750 (RM250 untuk setiap sepanduk yang menggunakan pelekat permit palsu) terhadap syarikat telekomunikasi berkenaan,” tegasnya.

Jelas Ah Teong, sebelum itu, Bahagian Pelesenan MPPP menerima permohonan permit daripada syarikat telekomunikasi berkenaan pada 28 Januari lalu dengan jumlah permohonan sebanyak 15 unit sepanduk sahaja.

Walau bagaimanapun, hasil operasi pemutihan dan pemantauan mendapati mereka (syarikat berkenaan) telah menggantung 335 unit sepanduk dengan mencetak semula pelekat permit asal.

“Syarikat telekomunikasi dan orang tengah telahpun disenaraihitamkan MPPP,’’ ujar beliau.