MPPP lantik CCR kutip tunggakan cukai

Gambar: ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Bermula 1 November lalu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah melantik sebuah agensi berdaftar, CCR Networks Sdn. Bhd. (CCR) bagi membantu pihaknya ‘mengutip’ semula cukai taksiran tertunggak sekitar RM58 juta membabitkan tempoh tahun 2005 hingga kini.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail berkata, usaha itu adalah salah satu langkah bagi membolehkan pihaknya mengutip semula cukai taksiran tertunggak terbabit sebelum kes-kes tersebut dilanjutkan untuk tindakan mahkamah.

“Adalah diharapkan pemilik premis memberi kerjasama sewajarnya kepada agensi ini.

“Ataupun, mereka terbabit boleh membuat bayaran tunggakan di kaunterkaunter MPPP bagi mengelakkan tindakan lanjut diambil,” ujarnya selepas selesai Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Thye.

Difahamkan, setakat ini, sekitar 3,000 nama yang mempunyai bayaran tertunggak membabitkan firma, syarikat dan individu perseorangan diserahkan kepada agensi berkenaan untuk dihubungi bagi tindakan lanjut.

Ketika ditanya mengenai pendekatan kutipan yang bakal digunakan, Patahiyah menjelaskan bahawa agensi terbabit akan menggunakan dua kaedah samada melalui panggilan telefon atau lawatan dari premis ke premis.

“Mereka (CCR) akan menghubungi individu ataupun syarikat yang berkaitan.

“Lawatan turut akan diadakan dari premis ke premis bagi memberi nasihat dan mengeluarkan surat peringatan.

“Bagaimanapun, kita mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang bayaran tunai kepada agen dilantik, sebaliknya, melakukan bayaran di kaunterkaunter Majlis yang sah,” ujar Patahiyah.

Bagi sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Cukai Taksiran MPPP, Nor Hazliza atau Rasidy di talian 04 – 259 2178/04 – 259 2341/04 – 259 2342