MPPP rangkul anugerah ‘Strategic Achievers’ kebangsaan

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) adalah antara dua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berjaya merangkul anugerah ‘Strategic Achievers’ anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) melalui Multimedia Development Corporation (MdeC) sempena Malaysia Government Portals and Websites Assessment 2012 (PGWA) di Putrajaya baru-baru ini.

Dalam pertandingan yang julung kali diperkenalkan itu, terdapat 1,348 portal dan laman web seluruh negara dinilai serta dianalisa sebelum hanya 281 portal dan laman web sahaja yang diiktiraf bertaraf lima bintang.

Pengarah Korporat MPPP, Patrick Khoo berkata, anugerah tersebut adalah bagi menggalakkan agensi kerajaan menyediakan lawan web yang telus dan tidak tergugat dengan isu keselamatan dinilai.

“Sebanyak 281 portal dan laman web kerajaan diiktiraf sebagai lima bintang. Daripada jumlah tersebut, hanya 28 agensi yang berjaya di dalam ujian yang baru diperkenalkan ini.

“MPPP merupakan salah satu daripada 28 agensi terpilih melalui anugerah ‘Strategic Achievers’.

“Di antara kriteria yang dinilai ialah portal serta laman web mestilah tidak tergugat dengan isu keselamatan, lulus ujian penembusan, tiada aduan awam terhadap portal dan penggunaan Bahasa Inggeris yang tepat,” ujarnya pada satu sidang media khas bagi mengumumkan kejayaan tersebut di Dewan Bandaran, baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Azrina Abu Bakar dan Penolong Pegawai Tadbir Kanan Perhubungan Awam, Mohd. Hasan Othman.

Tambah Patrick, selain Majlis, PBT yang turut berjaya mencapai anugerah tersebut adalah Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

“Selebihnya iaitu 26 portal dan laman web kebanyakannya adalah merupakan dari kementerian dan jabatan kerajaan di peringkat persekutuan,” ujarnya.

PATRICK Khoo (tengah), Azrina Abu Bakar (kiri) dan Mohd. Hasan Othman menunjukkan trofi dan sijil anugerah ‘Strategic Achievers’ yang dirangkul MPPP baru-baru ini di Putrajaya.
PATRICK Khoo (tengah), Azrina Abu Bakar (kiri)
dan Mohd. Hasan Othman menunjukkan trofi dan
sijil anugerah ‘Strategic Achievers’ yang dirangkul
MPPP baru-baru ini di Putrajaya.