MPPP sedia poster adu premis makan kotor

Admin

Oleh:NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Poster bercetak berhubung informasi premis makanan kotor disediakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bakal memudahkan orang ramai menyalurkan aduan secara terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit bagi tindakan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam merangkap Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong berkata, bagi tujuan tersebut, sebanyak 2,000 poster telah dicetak dan ditampal di sekitar premis- premis makanan sekitar bahagian pulau baru-baru ini.

“Jika dapati premis makanan dikunjungi kotor, mereka (para pengunjung atau pelanggan) boleh terus membuat aduan berpandukan kepada nombor telefon dan maklumat yang tertera pada poster.

“MPPP melalui Jabatan Pelesenan telah mula melekat dan menampal poster-poster berjumlah 2,000 keping di kesemua premis makanan di kawasan pulau bermula awal Jun lalu,’’ ujarnya selepas mengadakan operasi kebersihan di sekitar Jalan Kuantan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ah Teong memberitahu, sebanyak empat saluran aduan pihak berwajib disediakan iaitu MPPP, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Kesihatan Daerah Barat dan juga Timur Laut.

Dalam perkembangan sama, katanya MPPP giat menjalankan operasi kebersihan dari masa ke masa untuk memastikan premis-premis makanan di sini benar-benar mengikut spesifikasi kebersihan dan penggredan yang diberikan.

“Pada tahun 2013 sahaja, sebanyak 348 operasi dijalankan di seluruh pulau dengan hasil kompuan RM330, 950.00.

“Manakala, sehingga Mei tahun ini (2014), Majlis telah menjalankan 95 operasi dengan jumlah kutipan kompaun berjumlah RM167, 080.00,” tegas Ah Teong.