MPPP bagi tempoh Line Clear selesai pertikaian

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN– Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bakal mengambil alih tapak Restoran Nasi Kandar Line Clear yang terletak di salah sebuah lorong di Jalan Penang di sini sekiranya pertikaian hak milikan antara empat rakan kongsinya tidak diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

Perkara tersebut dinyatakan Pengarah Bahagian Pelesenan MPPP, Azman Sirun ketika perjumpaan khas bersama-sama wakil peniaga restoran tersebut di Komtar di sini baru-baru ini.

Katanya, masalah pertikaian timbul berikutan salah seorang daripada empat ahli keluarga yang bertanggungjawab menguruskan restoran tersebut tidak mematuhi sistem giliran telah dipersetujui iaitu setahun operasi bagi setiap orang.

“Memandangkan tempoh masa yang diberikan Majlis tidak dipatuhi keluarga berkenaan, Majlis akan melakukan pengosongan kawasan bagi menyusun semula aktiviti penjajaan berkenaan selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil Majlis.

“Tindakan ini adalah untuk memastikan aktiviti perniagaan berkenaan dijalan berdasarkan syarat dan peraturan.

“Penetapan tahun menjalankan aktiviti perniagaan kepada ahli keluarga berkenaan akan dibuat supaya tiada pertikaian timbul selepas penyusunan dijalankan,” ujarnya selepas pertemuan bersama wakil-wakil peniaga Restoran Nasi Kandar Line Clear baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MPPP dan tiga pemilik seberinda Restoran Nasi Kandar Line Clear, C. Sahubarali, T. Abdul Latiff dan wakil kepada Pathumah Iskandar.

Difahamkan, restoran nasi kandar yang amat popular berkenaan kini diuruskan Abdul Hamid Seeni Pakir dari tahun 2008 hingga kini.

Namun, beliau (Abdul Hamid) dipercayai telah mengingkari perjanjian apabila gagal memberikan giliran kepada C. Sahurabali pada tahun 2011 sehinga menimbulkan pertikaian di antara tiga pemilik yang lain hingga kini.

Sebagai rekod, MPPP hanya mengeluarkan tiga lesen kepada pemilik-pemilik lain untuk menjalankan perniagaan di tapak tersebut.

Manakala, Sahurabali ketika ditemui berkata, perbincangan berhubung giliran perniagaan di restoran berkenaan telah cuba diadakan beberapa kali.

“Tapi, kesemua menemui jalan buntu apabila Abdul Hamid tidak mahu mengembalikan giliran kepada pihak sepatutnya.

“Tujuan kami mengadu kepada MPPP adalah supaya sistem giliran dikembalikan dan perniagaan beroperasi seperti dahulu,” tegas beliau.