Sama-sama jaga tanah lapang – Prof.

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

PERAI – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berharap agar penduduk di sekitar Perai dapat sama-sama menjaga kawasan tanah lapang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kegunaan orang ramai di sini.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Projek Pengindahan Taman Poket Taman Kepar di sini baru- baru ini sebagai kesinambungan kepada Projek Pengindahan Perai yang dijalankan sejak hujung tahun lepas.

Menurut Ramasamy, inisiatif pengindahan tersebut adalah selari dengan moto Kerajaan Negeri untuk mewujudkan komuniti yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Kawasan tanah lapang ini merupakan kawasan disediakan pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk kegunaan orang ramai dan tidak boleh dipindah milik kepada mana-mana pihak.

“Program seperti ini haruslah dijadikan titik permulaan untuk mengubah perspektif masyarakat dalam menjaga kebersihan dan kehijauan di negeri ini supaya matlamat projek penghijauan ini dapat dicapai,” katanya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif dan Ahli-ahli Majlis MPSP, P. David Marshel dan M. Satees.

Turut diselitkan adalah acara penanaman pokok Tecoma atau sakura Malaysia oleh kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah sebagai pendedahan awal berhubung usaha penjagaan alam sekitar.

Menurut Ramasamy, projek pengindahan berkenaan merupakan projek ke-empat yang telah dijalankan beliau dengan kerjasama MPSP.

“Saya berharap pihak MPSP dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di sini dapat memberikan keutamaan menjalankan program berorientasikan penghijauan dan kebersihan alam sekitar.

“Walaupun begitu, ia hendaklah dijalankan secara berterusan agar matlamat penghijauan bandar Perai dapat dicapai.