MPPP terpilih sebagai tuan rumah TPO FAM 2013

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Di atas kejayaan menganjurkan 5th Tourism Promotion Organisation (TPO) Forum 2012 September lalu, sekali lagi, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dipilih sebagai tuan rumah penganjuran TPO for Asia Pacific Familiarisation (TPO FAM) pada Jun 2013 di sini baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis, Datuk Ar. Patahiyah Ismail semasa mengumumkan perkara tersebut berkata, sekretariat TPO di Busan, Korea berbincang dan memilih MPPP buat kedua kalinya sebagai destinasi penganjuran TPO FAM yang akan datang.

“Pihak Majlis akan berbincang lebih lanjut dengan sekretariat TPO mengenai tarikh penganjuran dan program-program yang bakal menyerikan TPO FAM nanti,”   ujarnya ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Bandar Persahabatan Antara MPPP dan Bandar Changwon, Korea Selatan di Dewan Bandaran, baru-baru ini di sini.

Majlis yang sama turut menyaksikan termeterainya perjanjian antara Patahiyah mewakili MPPP dan Datuk Bandar Changwon, Park Wan Su.

Hadir sama, Pengarah Rekreasi, Pelancongan Dan Perhubungan Antarabangsa, Mohamed Akbar Mustapha, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MPPP.

Dalam pada itu, Patahiyah berkata, memorandum tersebut merupakan aspek penting di dalam proses menukar pengalaman dan ilmu di antara kedua-dua bandar.

“Ia adalah amat bermakna kerana melalui memorandum yang telah termeterai, kedua-dua bandar bakal bertukar pengalaman dari segi pentadbiran awam, pelancongan, pelajaran, seni dan budaya,” ujarnya.

PATAHIYAH Ismail (depan, bertudung kuning) dan Park Wan Su (depan, kanan sekali) menunjukkan Memorandum Persefahaman Bandar Persabahatan Antara MPPP dan Bandar Changwon yang ditandatangani di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama baru-baru ini.
PATAHIYAH Ismail (depan, bertudung kuning) dan Park Wan Su (depan, kanan sekali) menunjukkan
Memorandum Persefahaman Bandar Persabahatan Antara MPPP dan Bandar Changwon yang
ditandatangani di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama baru-baru ini.