MPPP timbang wujudkan semula trem pelancongan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sedang mempertimbang cadangan untuk mewujudkan semula pengangkutan trem, iaitu kenderaan awam menggunakan elektrik serta landasan atas jalan raya yang pernah menjadi salah satu identiti bandar George Town pada era 1870-an dahulu.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail berkata, cadangan itu ekoran dari lawatan Setiausahanya, Ir. Ang Aing Thye ke beberapa bandar raya dan mendapati pengangkutan mesra pelancongan itu wujud di beberapa lokasi tersebut sehingga hari ini.

“Apabila ianya bergerak perlahan, ia (trem) akan memberi peluang kepada pelangcong untuk menghayati pemandangan bandaraya George Town yang terkenal dengan bangunan warisan dan bersejarah,” ujar Patahiyah di Dewan Bandaran di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, MPPP mencadangkan demikian memandangkan bahawa perkara pengangkutan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Tambah Patahiyah, pergerakan trafik yang perlahan dan sesak di bandar George Town dilihat lebih sesuai menggunakan pengangkutan trem itu.

Aing Thye pula berkata, pengangkutan trem di Pulau Pinang wujud sejak 1870- an, iaitu enam tahun lebih awal dibina berbanding di Hong Kong.

Sementara itu, Aing Thye turut menyentuh mengenai pelan perancangan trek basikal merangkumi 157 kilometer di sekitar pulau sebagaimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri demi merealisasikan kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Terdahulu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pernah mencadangkan pengangkutan trem diwujudkan semula di George Town demi mempromosi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan terbaik di rantau ini.