MPSP akan dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai selepas Aidilfitri, umum Exco

Admin
SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)  akan dinaiktaraf dan diisytiharkan sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengisytiharan tersebut sekaligus menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang kedua-dua pihak berkuasa tempatannya (PBT)  bertaraf bandar raya dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di bahagian pulau dan MBSP di Seberang.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa, kabinet telah meluluskan perkara itu sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida  Kamarudin semalam.
“Pengumuman ini menjadikan MBSP sebagai PBT ke-14 daripada 155 PBT di dalam negara yang dinaik taraf kepada status bandar raya.
“Pengumuman rasmi berhubung status ini  dijangka dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri nanti iaitu dalam tempoh tiga minggu selepas semua urusan dokumentasi siap dan mendapat watikah daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Pihak Kerajaan Negeri juga perlu membuat pemilihan siapakah yang bakal menjadi Datuk Bandar MBSP  dan perkara ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco kelak,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Penaiktarafan Status MPSP kepada MBSP di Lobi menara MPSP, di sini pagi ini.
Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MPSP.
Sehubungan itu, Jagdeep berkata MBSP akan menggalas tanggungjawab yang lebih besar bagi mengekalkan pencapaian sedia ada selepas PBT itu dinaik taraf sebagai bandar raya.
“Saya ingin tekankan bahawa, rakyat akan mempunyai jangkaan dan ekspektasi yang lebih tinggi terhadap MBSP.
“Proses penyampaian perkhidmatan adalah aspek yang perlu dititikberatkan terutama sekali sistem penyampaian,” ujarnya.