MPSP anjur bengkel latihan percuma, galak komuniti hasilkan barangan ‘up-cycle’

BUKIT TAMBUN –Up-Cycling’, proses mengubah bekas barang menjadi komoditi lebih berguna atau memiliki nilai lingkungan lebih baik, mungkin sesuatu yang baharu bagi rata-rata komuniti penduduk di Seberang Perai.

Contoh barangan ‘up-cycle’ adalah anyaman surat khabar lama menjadi bekas atau raga, mempunyai nilai tambah untuk kegunaan atau dijual secara komersial.

Justeru, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berharap lebih ramai komuniti setempat menyertai bengkel latihan ‘up-cycle’ secara percuma pada hari Sabtu minggu ketiga tiap-tiap bulan mulai jam 9 pagi di Bangunan MPSP Jalan Betik dekat Bukit Mertajam.

“Daftar segera di laman web www.mpsp.gov.my sama ada secara individu atau berkumpulan, kerana kita (MPSP) menyediakan 26 tenaga jurulatih secara percuma,” jelasnya kepada pemberita selepas berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan Pusat Sumber Alam Sekitar Perkampungan Valdor 17 September lalu di sini.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Dato’ Law Choo Kiang turut berucap dan merasmikan pembukaan pusat sumber alam sekitar tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli Majlis MPSP, Heng Yeh Shiuan serta anggota-anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Perkampungan Valdor.

Difahamkan, istilah ‘up-cycling’ pertama kali diperkenalkan oleh Reiner Pilz dari Pilz GmbH pada tahun 1994, untuk membendakan dengan istilah recycling atau barangan kitar semula.

Menurut Rozali, MPSP dengan kerjasama penganjur setempat akan menyediakan tapak niaga secara percuma di Juru Autocity pada Sabtu malam Ahad minggu pertama tiap-tiap bulan, untuk membantu komuniti memasarkan hasil barangan ‘up-cycle’ masing-masing.

“Ini adalah kerjasama MPSP dengan Juru Autocity, kerana kita percaya galakan menghasilkan barang-barang ‘up-cycle’ ini juga turut menyumbang kepada peningkatan peratus kadar kitar semula di Seberang Perai,” jelasnya sambil memberitahu bahawa pentadbirannya mensasarkan kadar kitar semula pada tahun 2022 adalah sebanyak 70 peratus.

Direkodkan, 42.60 peratus kadar kitar semula di Seberang Perai bagi tahun 2016 adalah paling tinggi di Malaysia, serta melepasi 10.5 peratus kadar kitar semula kebangsaan digariskan Kerajaan Persekutuan.