Bajet 2018 MBPP sedia kemudahan awam, infrastruktur taraf global

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif baru-baru ini membentangkan Bajet 2018 pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit melibatkan anggaran hasil sebanyak RM416.98 juta berbanding anggaran perbelanjaan (RM606.53 juta) dengan jumlah defisit sebanyak RM189.55 juta.

Bertemakan Bandaraya Mampan dan Berdaya Tahan, Maimunah berkata, sebanyak RM368.67 juta atau 60.78 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM237.85 juta (39.22 peratus), perbelanjaan pembangunan.

“Manakala, hasil diterima daripada tiga punca utama iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.

“Anggaran Hasil Cukai 2018 ialah sebanyak RM222.86 juta, Hasil Bukan Cukai (RM153.49 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM40.63 juta),” ucapnya pada pembentangan Bajet Tahun 2018 pada Mesyuarat Khas Majlis MBPP di sini baru-baru ini.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Mengikut rekod, MBPP telah mencatatkan lebihan dalam penyata kewangan untuk tempoh dua tahun berturut-turut, iaitu sebanyak RM177.95 juta bagi tahun 2014, RM146.04 juta (2015) dan defisit sebanyak RM1.41 juta (2016).

Bercakap mengenai bajet defisit yang dibentangkan, Maimunah menjelaskan bahawa ia disediakan demi memastikan pembayar cukai menikmati kemudahan awam dan infrastruktur bertaraf global.

“Walau bagaimanapun, langkah-langkah proaktif dan holistik akan terus diambil untuk menambah sumber kewangan dengan memastikan semua kutipan dipertingkatkan,” ujarnya.

Bajet 2018 yang dibentangkan adalah mengikut peruntukan di bawah Seksyen 55 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang dipersetujui Ahli-ahli Majlis Dewan Mesyuarat Khas MBPP.