MPSP anjur Kempen Bersih Premis Makanan, didik sebelum langkah penguatkuasaan

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melancarkan Kempen Kebersihan Premis Makanan mulai 31 Julai 2018 hingga 3 Februari 2019.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, pentadbirannya memandang serius teguran Ketua Menteri baru-baru ini berhubung beberapa premis makanan tidak menggunakan sistem perangkap gris berkualiti, sebagaimana digariskan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita memandang serius dengan teguran Y.A.B. Ketua Menteri baru-baru ini.

“Dalam kempen ini, Educational Enforcement adalah kaedah yang akan kita (MPSP) guna pakai, dengan memberi kesedaran kepada pengendali atau pengusaha kedai makan, sebelum langkah penguatkuasaan.

Educational Enforcement ini akan dilaksanakan di semua premis, termasuk restoran dan medan selera (food court),” tegasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini tengah hari 25 Julai 2018.

Turut serta, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmood dan barisan Ahli Majlis MPSP lain.

Tambah beliau, gimik pelancaran kempen dwi kaedah itu akan dilaksanakan di Pasar Awam MPSP Seri Bandar, Butterworth pada 7 Ogos 2018; Fress Food Court Jalan Nangka, Bukit Mertajam (31 Julai 2018) dan Kompleks Makanan Taman Berjaya, Nibong Tebal (14 Ogos 2018).

Menjawab soalan pemberita, Rozali menyatakan bahawa fasa pertama kempen, iaitu pendekatan pendidikan bermula pada 31 Julai hingga 30 November, diikuti fasa kedua iaitu pendekatan penguatkuasaan (3 Disember 2018 hingga 3 Februari 2019).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : MPSP