MPSP bakal perluaskan program iCYCLE ke arah bandar rendah karbon dan pintar – Rozali

BUKIT TAMBUN – Ke arah matlamat menjadikan Seberang Perai sebagai bandar rendah karbon dan pintar pada tahun 2022, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan memperluaskan projek iCYCLE iaitu kitar semula pintar dekat Seberang Perai mulai tahun 2019, ujar Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Rozali yang merupakan Yang Dipertua MPSP berkata, aplikasi tersebut dibangunkan oleh syarikat iCYCLE Malaysia dengan kerjasama MPSP bagi merealisasikan misi dan visi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Satu rumah akan diberi satu bar code, pemilik akan ikat sampah (kitar semula) dia, bawak ke pusat sumber (alam sekitar) dan di pusat sumber mereka akan guna smart phone untuk scan bar code,dari situ akan diketahui siapa pemilik sampah kitar semula tersebut.

Dari situ ianya akan simpan point, pemilik yang sudah mempunyai point yang banyak boleh ke laman sesawang iCYCLE untuk menebus dengan memuat turun baucar tunai dan boleh digunakan untuk beli barangan dari kedai terpilih ataupun dapat hadiah,” ujar Rozali pada sidang media sejurus merasmikan Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Tangling, Simpang Ampat di Lorong Belibis 15, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik. Ahli-ahli Majlis MPSP dan pimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Menurut Rozali, program tersebut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila sudah ada yang mendaftar untuk menyertainya.

Seramai 90 orang telah mendaftar dengan iCYCLE di Taman Belibis, 174 orang di Taman Bagan Lalang yang mana mereka ini tumpu kepada pembuangan makanan dan Permatang Nibong (55 orang),” ujarnya.

Justeru, MPSP mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai program ini dengan mendaftar di laman sesawang www.icycle.com atau datang ke pusat sumber alam sekitar terdekat.

Difahamkan projek iCYCLE kali pertamanya telah dimulakan di Seberang Perai Utara (SPU) pada Jun 2018 dan Taman Tangling merupakan kawasan pertama bagi daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Dalam pada itu, Choon Aik ketika berucap mengingatkan mulai bulan Januari 2019 penduduk di DUN Bukit Tambun perlu lebih serius menjalankan pengasingan sisa di punca.

Kita telah adakan program kesedaran… bagi saya sudah cukup lama, jika ada yang dikompaun oleh MPSP, saya tidak akan layan lagi tuntutan tersebut,” tegas beliau.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD