MPSP dapat anugerah antarabangsa, OHSAS

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD 

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini dipilih sebagai pihak berkuasa tempatan pertama di semenanjung Malaysia yang mendapat sijil pengiktirafan antarabangsa, iaitu Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OHSAS) 18001:2007.

Justeru, Pengerusi National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye menggesa 143 PBT lain seluruh negara mendapatkan pengiktirafan antarabangsa itu.

“Penganugerahan sijil ini merupakan satu penghormatan buat MPSP. “Ini menunjukkan keprihatinan MPSP dalam menjaga kesihatan dan keselamatan pekerja mereka di tempat kerja dengan menyediakan persekitaran kerja selamat yang sepatutnya,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil OHSAS 18001:2007 kepada Yang di-Pertua MPSP, Maimunah
Mohd. Sharif di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dr. Sharudin Shari (Ahli Lembaga Pengarah NIOSH Certification Sdn. Bhd., NCSB), Syamsul Zahrin Zanudin (Pengurus Besar NCSB), Asiah Nasution Suhaimi (Pengurus Persijilan NCSB) dan Sr. Hj. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran MPSP) turut hadir pada majlis tersebut.

Tambah beliau, difahamkan bahawa terdapat banyak PBT masih teragak-agak untuk melaksanakan kehendak Akta Keselamatan Pekerjaan 1994.

“Akta itu diwujudkan bagi melindungi para pekerja dan memastikan persekitaran kerja yang selamat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maimunah berkata, idea untuk mendapatkan pensijilan OHSAS ini tercetus semasa beliau menghadiri taklimat berkaitan OHSAS 18001:2007 di Perbadanan Produktiviti Malaysia, Kepala Batas pada Januari lalu.

“Bermula dari situ, saya mencabar kakitangan MPSP supaya berfikiran positif bagi mencapai kerja berpasukan yang cemerlang dalam tempoh setahun.

“Alhamdulillah, berkat cabaran tersebut, setelah setahun berhempas pulas akhirnya MPSP telah berjaya mencapai sasaran tersebut dengan penganugerahan OHSAS 18001:2007 pada 28 Ogos 2013,” katanya di hadapan kakitangan MPSP yang hadir.

“Antara faktor yang mendorong MPSP untuk mengikuti garis panduan yang ditetapkan NIOSH adalah termasuk
mengurangkan kos dan kerugian akibat kecederaan semasa bekerja, meningkatkan produktiviti dan moral pekerja dan mengurangkan tuntutan liabiliti daripada kakitangan,” tambahnya.

Terdahulu, MPSP berjaya mengekalkan persijilan ISO 14001:2004 sehingga 13 Jun 2015 yang diperoleh daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. OHSAS 18001:2007 yang dikeluarkan NIOSH adalah sistem yang berasaskan British Standard yang diguna secara meluas di seluruh negara dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.