MPSP giat laksana rehabilitasi, kekal bangunan warisan

Teks & Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BUKIT MERTAJAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kini giat melaksanakan rehabilitasi dan pemeliharaan bangunan-bangunan warisan sekitar bandar Bukit Mertajam dalam usaha mengekalkan nilai sejarah dan keunikannya.

Penolong Pengarah Perancang Bandar MPSP, Nur Faradilla Fahruddin berkata, pelaksanaan rehabilitasi dan pemeliharaan bangunan-bangunan warisan tersebut turut merangkumi Pasar Awam Bukit Mertajam yang mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri.

“Pasar awam ini dibina pada pertengahan tahun 1960-an dan pernah terbakar pada Februari 2014.

“(Dan) kita (MPSP) sedang giat untuk mengekalkan semula pasar awam ini, termasuk bangunanbangunan warisan lain yang mempunyai keunikan untuk diketengahkan kepada generasi akan datang.

“Lagipun, MPSP mahu tempattempat ini kekal menarik minat pelancong-pelancong dari luar, penduduk tempatan serta generasi muda tahu akan wujudnya sejarah di bangunan ini,” jelasnya pada Majlis Sesi Town Hall Rehabilitasi Pasar Awam Bukit Mertajam di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Perlesenan MPSP, Mohd. Ubaidillah Abdullah dan Ahli Majlis bagi MPSP, Woo Sze Zeng.

Menurut Nur Faradilla, pihaknya telah melakukan tinjauan bagi mendapatkan maklum balas orang awam berhubung cadangan penggunaan ruang di Tingkat 1, Pasar Awam Bukit Mertajam.

“Tinjauan ini turut melibatkan komuniti setempat, peniaga, wakilwakil dari Universiti Sains Malaysia (USM), badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Majlis MPSP sendiri.

“Tujuan kita adalah untuk mengembalikan semula ‘sinar’ pasar awam ini, dan kajian awal mendapati rata-rata mahukan dewan komuniti diwujudkan, galeri awam, pusat rekreasi, perpustakaan awam serta platform untuk bakat tempatan, kebudayaan dan muzik,” jelasnya.