Persiaran Rajawali manfaat 5,000 penduduk

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Dalam usaha menangani dan mengurangkan kesesakan lalulintas, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerjasama pemaju mengambil langkah melaksanakan beberapa projek menaiktaraf, melebar jalan dan mewujudkan sistem aliran trafik serta simpang yang lebih sistematik di sini.

Terbaru, inisiatif pelebaran sebahagian Jalan Tun Dr. Awang sepanjang lebih kurang satu kilometer dari Bulatan Bayan Lepas dan pengwujudan pusingan ‘U’ di sini melibatkan kos RM12 juta bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan lalulintas sebanyak 20 peratus di kawasan tersebut, malah memberi keselesaan kepada pengguna laluan berkenaan.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap sebarang masalah dan berusaha untuk menanganinya secara berterusan, dan tentunya dengan bantuan PBT dan pihak pemaju berwajib.” ucap Ketua Menteri,  Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir merasmikan Majlis Ringkas Pembukaan Jalan Sambungan Baru dan Pelebaran Jalan dekat sini baru-baru ini.

Projek yang dikelola secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh pemaju, Ideal Property Group (Ideal) turut melibatkan pembukaan jalan sambungan baru (dinamakan sebagai Persiaran Rajawali) yang menghubungkan Jalan Dato’ Ismail Hashim ke Jalan Tun Dr. Awang.

“Jalan sambungan baru sepanjang 500 meter itu mampu memanfaatkan kira-kira 5,000 penduduk yang berulang alik antara Sungai Ara dan Bayan Lepas dengan memendekkan jarak dan masa perjalanan mereka.

“Secara tidak langsung, laluan alternatif ini mampu menguraikan kesesakan lalulintas pada waktu puncak terutama di Jalan Bayan Lepas, Jalan Bayan dan Jalan Dato’ Ismail Hashim,” jelas beliau.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi), Lim Hock Seng, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Abdul Malik Abul Kassim, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail dan Pengerusi Eksekutif Ideal, Datuk Alex Ooi.

Dalam majlis sama, Guan Eng turut menyempurnakan majlis simbolik penanaman pokok baru sebagai inisiatif penghijauan sepanjang laluan tersebut.

Difahamkan, sebanyak 200 batang pokok baru telah ditanam dan 90 batang pokok lagi ditanam semula.

Ini termasuk mewujudkan sebuah taman istirahat dan juga laluan basikal sepanjang laluan terbabit.