MPSP keluarkan lesen bertempoh untuk perniagaan tidak risiko di kawasan Seberang Perai, 27 September ini – YDP

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan mengadakan Program Mesra Pelanggan 3.0 bertempat di Ruang Legar dan Auditorium Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda pada 27 September ini bermula jam 9 pagi hingga 1 petang.

Yang Di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, penganjuran program bertemakan #andaperlukamibantu siri ketiga tersebut menumpukan kepada pengeluaran lesen bertempoh kepada perniagaan tidak risiko luar skim di seluruh kawasan Seberang Perai.

Katanya, lesen bertempoh adalah satu kaedah pemberian lesen perniagaan kepada pengusaha atau peniaga di kawasan Seberang Perai bagi membolehkan perniagaan beroperasi dengan kebenaran Majlis secara bertempoh.

Ini adalah usaha kita (MPSP) untuk membantu pengusaha dan peniaga di Seberang Perai untuk mendapatkan lesen perniagaan MPSP secara sah walaupun tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan ketika permohonan lesen dibuat.

Kumpulan sasaran adalah pengusaha-pengusaha kilang yang berdaftar di bawah program pemutihan kilang, pengusaha kilang kategori tidak berisiko yang telah beroperasi sebelum 31 Julai 2017 dan peniaga-peniaga yang menjalankan perniagaan kategori tidak berisiko.

Bagi pengusaha kilang kategori tidak berisiko yang telah beroperasi sebelum 31 Julai 2017, mereka perlu hadir bersama bil elektrik atau bil air sebagai bukti,” katanya ketika sidang media sebentar tadi.

Terdahulu, melalui sesi yang sama iaitu Program Mesra Pelanggan MPSP 1.0 dan 2.0 yang diadakan pada 25 Januari 2018 dan 27 April 2018 memperoleh sambutan memberangsangkan tidak kurang daripada 350 orang yang hadir.

Menurut Rozali, yuran minimum bagi setiap permohonan adalah sebanyak RM240.00 dan kadar bayaran tersebut adalah berdasarkan keluasan dan aktiviti perniagaan yang akan dijalankan.

Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Mohd. Ubaidillah Abdullah di talian 04-549 7670 atau emailkan kepada [email protected].

Oleh : YUSNINA MOHD. YUSOF

Gambar : MPSP