MPSP lancar Eco Rangers babit pelajar

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru melancarkan program Eco Rangers dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Tun Syed Sheikh Shahabudin (SMKSTSSS) bagi menggalakkan penyertaan golongan pelajar terhadap aktiviti memelihara dan memulihara alam sekitar yang membabitkan komuniti.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud berkata, inisiatif seumpama itu adalah sejajar dengan fokus majlis untuk mengurangkan bajet tahunan untuk menguruskan sisa serta mengumpulkan sampah-sarap yang dianggarkan kira-kira RM86 juta.

“Melalui projek-projek hijau ini, kami (MPSP) berharap pelajar-pelajar dapat menimba pengalaman baru di (tapak pemajuan) projek-projek alam sekitar yang berbeza-beza,” kata beliau pada satu majlis kehijauan serta menanam pokok di sekolah berkenaan di sini baru-baru ini.

Rozali berkata, sekolah itu dipilih untuk program Eco Rangers selepas memenangi beberapa program anugerah berkaitan aktiviti kehijauan, sebelum ini.

“Sekolah ini (SMK STSSS) pernah mewakili negara pada Genius Olympiad di New York pada bulan Jun dan meraih pingat emas,” ujar beliau.

Sebelum itu, Pengetua SMK STSSS, Jamaluddin Yaacob berkata, pihak sekolah sedang giat mengadakan program penukaran segera sisa makanan, pusat kitar semula dan sebagainya.

“Setakat ini, sekolah kami adalah perintis dalam projek sangkar kucing yang dilancarkan tahun lepas di mana kami telah ditempatkan dan dijaga 38 hingga 40 kucing sesat di dalam ruang yang tertentu,” katanya.

Pada majlis sama, Rozali dan Jamaluddin turut menanam pokok sebagai tanda simbolik bagi memperingati majlis pelancaran rasmi program ini.