MPSP lancar Manual DCP sebagai kelangsungan perkembangan dan pertumbuhan Seberang Perai

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) buat julung kalinya melancarkan Manual Dealing With Construction Permit (DCP) bagi meningkatkan kecekapan dalam proses pembangunan di kawasan Seberang Perai.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Manual DCP sangat penting untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri agar menjadi lebih cekap dan efisien.

“Dengan pelancaran manual ini, maka karenah birokrasi dapat dikurangkan iaitu daripada 55 prosedur kepada 21 (prosedur), manakala proses kebenaran merancang pula dipendekkan daripada 497 hari kepada 105 hari.

“Pengurangan birokrasi akan membawa kesan besar kepada sektor ekonomi Pulau Pinang khususnya di Seberang Perai,” jelasnya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran DCP Seberang Perai di sini sebentar tadi.

Turut serta Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP, Setiausaha Perbandaran MPSP, Rosnani Mahmod serta wakil Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Sementara itu, Rozali semasa berucap pada majlis tersebut menerangkan bahawa antara kriteria penting yang dinilai bagi permohonan memperoleh kebenaran merancang termasuklah luas kawasan pemajuan adalah lima ekar ke bawah, pembangunan tidak melebihi tiga tingkat serta pembangunan bukan strata.

“Dengan wujudnya Manual DCP ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang-peluang pekerjaan khususnya kepada golongan B40 dan ruang-ruang pelaburan dapat ditingkatkan seterusnya meletakkan Seberang Perai di tangga tertinggi dalam kemudahan menjalankan perniagaan.

“Oleh itu, saya menyarankan agar pihak-pihak perunding juga dapat memainkan peranan secara profesional untuk memastikan program atau hasrat ini dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk kelangsungan perkembangan dan pertumbuhan Seberang Perai,” ujarnya lagi.

Difahamkan, DCP merupakan istilah yang digunakan oleh Bank Dunia untuk mengukur prestasi dalam urusan mendapatkan permit atau kebenaran pembangunan yang mana MPSP merupakan salah satu daripada enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini yang terpilih untuk melancarkan program tersebut.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Manual DCP boleh layari laman sesawang www.mpsp.gov.my
atau hubungi talian 04-5497555/04-5389700

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS