MPSP lancar Seberang Perai Corporate Priorities 2019, terjemah Bajet 2019 berpaksikan rakyat

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hari ini melancarkan Seberang Perai Corporate Priorities (SPCP) 2019 bagi menterjemahkan Bajet 2019 bertemakan ‘Menyantuni Rakyat’ ke dalam bentuk mudah difahami oleh masyarakat.

Yang di-Pertuanya, Dato; Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa SPCP mengandungi 98 program serta 208 aktiviti, 75 daripada aktiviti adalah berpaksikan rakyat.

“Keutamaan akan diberikan kepada remaja, warga emas dan golongan B40 (berpendapatan kurang 40 peratus) bagi membina masyarakat yang prograsif, penyayang dan mencintai alam sekitar.

Rozali melancarkan SPCP selepas selesai Mesyuarat Majlis Penuh MPSP sebentar tadi.

“Oleh itu, MPSP akan memperkenalkan dan membangunkan ruang pelbagai guna untuk menambah ruang niaga, tempat bersenam dan bersukan, ruangan sosial, resepsi pekahwinan dan banyak lagi dengan kos kira-kira RM13 juta.

“Kita (MPSP) juga mempromosikan kempen pemilikan rumah bagi setiap pekerja MPSP terutamanya dalam kalangan ‘wira oren’ melalui program pemadanan pekerja dengan institusi perbankan serta pemaju perumahan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh, dekat Kompleks Ibu Pejabat MPSP, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dr. Amar Pritpal Abdullah; Mustafa Kamal Ahmad (ADUN Teluk Ayer Tawar); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (ADUN Bertam); Jason H’ng Mooi Lye (ADUN Jawi); Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod serta Ketua-Ketua Jabatan MPSP.

Mengulas lanjut, Rozali berkata, turut terkandung dalam dokumen strategik tersebut adalah maklumat berkaitan dasar-dasar yang dilaksanakan MPSP bagi mencapai status bandar rendah karbon, bandar pintar serta sistem-sistem pengurusan berpaksikan rakyat.

Maklumat lanjut berkaitan SPCP 2019 boleh didapati di laman sesawang http://www.mpsp.gov.my

Pada sidang media yang sama, Rozali turut melancarkan ‘MPSP QR Bill’ bagi memudahkan pemilik premis membuat bayaran cukai taksiran hanya dengan menggunakan telefon pintar.

Kaedah penggunaan MPSP QR Bill.

“Melalui fungsi ini, pemilik premis boleh membayar cukai taksiran MPSP menggunakan telefon pintar dengan hanya mengimbas QR Code yang disediakan pada bil (cukai taksiran) yang diterima.

“Selepas QR Code diimbas, pemilik premis perlu mengemas kini alamat e-mel serta nombor telefon terlebih dahulu untuk direkodkan ke dalam sistem MPSP.

“Pembayaran boleh dibuat melalui kad kredit, kad debit atau PFX (Online Banking) yang mana transaksi pembayaran akan dimaklumkan melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) atau e-mel yang telah didaftarkan,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS